Baru-baru ini, hati saya benar-benar tersentuh apabila menonton video dua beradik cekal dari Kampung Seri Lebak, Temerloh, Pahang, yang tular di media sosial.
Video itu mengisahkan dua beradik yang tabah, Nik Haznita Saffiya, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, yang kedua-duanya kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya ngeri pada 2024.
Melihat raut wajah mereka, timbul rasa kagum yang mendalam dalam diri saya. Walaupun keadaan fizikal mereka tidak lagi sempurna, mereka tetap cekal bekerja mencari rezeki demi membantu bapa menyara keluarga.
Menerusi video tersebut, tidak dapat dinafikan tugasan harian mereka di gerai memang memenatkan.
Bayangkan, dengan hanya bertemankan tongkat, malah kadangkala terpaksa melompat kecil untuk bergerak ke tempat yang lebih dekat, mereka tetap menguruskan perniagaan dengan gigih.
Apabila letih, mereka akan berehat seketika untuk melepaskan lelah. Namun, selepas itu, mereka segera bangkit dan terus bekerja sehingga semua jualan habis.
Meskipun berjalan dengan hanya sebelah kaki, wajah kedua-dua beradik ini sentiasa kelihatan tenang dan dihiasi senyuman yang cukup manis.
Hakikatnya, kita yang mempunyai fizikal sempurna ini pun belum tentu mampu memiliki semangat sekental dan luar biasa dua beradik ini.
Tragedi hitam
Mengimbau detik hitam yang mengubah jalan hidup mereka, segalanya berlaku pada 7 Februari 2024 di Kampung Seri Lebak, Temerloh, Pahang.
Motosikal yang dinaiki Nik Haznita dan Nik Haziera terlibat dalam kemalangan dengan dengan lori. Impak kemalangan tersebut menyebabkan kaki kanan kedua-dua beradik ini mengalami kecederaan yang amat parah.
Tiada pilihan lain untuk menyelamatkan nyawa mereka, doktor mengesahkan kaki kanan mereka terpaksa dipotong.
Bagi gadis remaja yang mempunyai masa depan panjang, berita amputasi dan pengesahan sebagai orang kurang upaya kekal seumur hidup pastinya satu tamparan hebat yang boleh meragut seluruh semangat juang.
Malah, ketika doktor memaklumkan keputusan berat itu, salah seorang daripada mereka dengan nada yang cukup sayu mengadu kepada ayahnya:
“Abah, doktor kata kaki Angah perlu dipotong. Angah sudah tiada sebelah kaki.”
“Mukjizat,” kata-kata seorang ayah. Namun, di sinilah bermulanya sebuah keajaiban yang menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia.
Mendengar rintihan anaknya, si ayah tidak menangis hiba di hadapan mereka. Sebaliknya, dengan penuh ketenangan dan kasih sayang sebagai ketua keluarga, si ayah menjawab dengan kata-kata yang luar biasa.
“Angah jangan risau. Sebenarnya Angah bukan ada satu kaki, tetapi ada dua kaki, iaitu kaki abah. Jadi, Angah sebenarnya ada tiga kaki. Begitu juga kakak.”
Hanya dengan sebaris ayat itu, seluruh landskap emosi dua beradik ini berubah sepenuhnya.
Kata-kata azimat seorang bapa itu menjadi “mukjizat” yang menyuntik kekuatan luar biasa ke dalam jiwa mereka.
Menurut ibu mereka, ketabahan dua beradik ini selepas pembedahan amat mengejutkan pihak hospital.
Kebiasaannya, pesakit yang baru kehilangan anggota badan akan mengalami trauma teruk sehingga memerlukan ubat penenang untuk menerima kenyataan.
Namun, dua beradik ini langsung tidak memerlukan ubat penenang tersebut. Mereka menghadapi ujian yang sangat berat itu dengan penuh ketenangan, keredaan dan ketabahan yang sukar dipercayai.
Kisah inspirasi ini bukan sekadar tentang bagaimana mereka menerima takdir, tetapi juga bagaimana mereka bangkit menongkah badai kehidupan selepas itu.
Sebelum kemalangan berlaku, kedua-dua beradik ini hanya membantu abang mereka berniaga cendol.
Namun, selepas tragedi itu menimpa, mereka membuat keputusan besar untuk mengambil alih dan meneruskan operasi perniagaan sepenuhnya.
Keputusan itu dibuat bukan kerana terpaksa, tetapi atas dasar kasih sayang dan pengorbanan demi keluarga.
Mereka enggan melihat bapa yang semakin uzur dan berusia terus membanting tulang mencari rezeki.
Ditambah pula dengan keinginan tinggi untuk berdikari dan tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa, mereka memilih untuk menjadi tulang belakang keluarga menerusi perniagaan Cendol Meleleh di Temerloh, Pahang.
Apabila kisah luar biasa ini dikongsikan dalam satu sesi temu bual, bukan sahaja warga studio radio Era menitiskan air mata, malah penonton yang menyaksikan klip tersebut turut tersentuh.
Kita sering merungut tentang perkara kecil, namun dua beradik ini mengajar kita erti sebenar syukur dan reda.
Hari ini, mereka membuktikan kehilangan sebelah kaki bukan penamat kepada kehidupan. Nik Haznita dan Nik Haziera terus melangkah ke hadapan dengan penuh maruah.
Mereka tetap cekal melayani pelanggan dan mengusahakan perniagaan cendol dengan senyuman yang tidak pernah pudar.
Mengapa mereka begitu kuat? Kerana mereka percaya, walaupun fizikal mereka kini tidak lagi sempurna, di belakang mereka masih ada keluarga dan masyarakat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh, menyokong, membantu serta mendoakan kejayaan mereka.
Semoga kisah dua beradik cekal dari Temerloh ini menjadi tamparan muhasabah buat kita semua untuk sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat yang masih berbaki.



