KUCHING: Tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan berhemah terus menjadi asas kekuatan Sarawak, kata Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, tadbir urus dan pengurusan kewangan kita telah disahkan secara menyeluruh, disemak rapi oleh Jabatan Audit Negara serta penarafan antarabangsa dan tempatan yang berwibawa seperti Moody’s Ratings, S&P Global Ratings dan Rating Agency Malaysia (RAM).
“Ketua Audit Negara telah menganugerahkan sijil bersih kepada Sarawak secara berturut-turut selama beberapa tahun.
“Pengiktirafan tersebut jelas membuktikan kedudukan kewangan kita yang kukuh serta cara pengurusan kewangan teliti, berhemat dan bertanggungjawab bagi setiap wang dibelanjakan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, bagi tahun fiskal 2025, kita mempunyai rizab penampan yang mencukupi sebanyak RM2.2 bilion dalam Akaun Dana Pembangunan untuk menyokong inisiatif pembangunan sepadan dengan jumlah defisit.
Ujarnya, ini menunjukkan tiada implikasi serius terhadap anggaran Bajet 2025 dan membuktikan unjuran bajet tahunan berhemah dan profesional.
Menyentuh mengenai inisiatif Pembiayaan Alternatif, Abang Johari menegaskan ia membolehkan pengurusan keperluan aliran tunai dengan lebih cekap bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur strategik, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Pembayaran obligasi kewangan di bawah Pembiayaan Alternatif telah diperuntukkan sepenuhnya dalam bajet perbelanjaan pembangunan negeri setiap tahun dan bajet tersebut dibentang, dibahaskan seterusnya diluluskan oleh dewan ini.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa dengan inisiatif tersebut, ia telah memudahkan dan menyokong pelaksanaan projek strategik di seluruh Sarawak seperti jalan pesisir, Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road), 14 jambatan, grid bekalan air, infrastruktur digital dan Transit Aliran Autonomi (ART).
Jelasnya, semua ini memberi kesan pengganda kepada ekonomi seperti yang dibuktikan melalui pertumbuhan 18.7 peratus dalam sektor pembinaan tahun lalu.
“Kita komited menegakkan tadbir urus yang baik, disiplin kewangan ketat dan pengurusan kewangan berhemat di semua peringkat organisasi pada setiap masa.
“Di samping itu, kita juga mengekalkan ketelusan penuh dalam semua pendedahan berkaitan Pembiayaan Alternatif dan sumber tersebut adalah sepenuhnya daripada bank milik kita sendiri iaitu Bank Pembangunan Sarawak Berhad (DBOS),” tambahnya.



