SIBU: Kekuatan setiap wilayah dengan potensi dan kelebihan tersendiri menjadi asas kepada pembentukan Sarawak yang lebih berdaya tahan serta mampu berkembang secara seimbang pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pemilihan Sibu sebagai lokasi Sambutan Hari Sarawak 2026 amat bermakna kerana bandar itu mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah pembangunan negeri.
Menurutnya, Sibu bukan sahaja merupakan bandar strategik di bahagian tengah Sarawak, malah menjadi simbol semangat kerja keras, keusahawanan dan ketabahan masyarakat yang membangunkannya dari generasi ke generasi.
“Sibu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah pembangunan Sarawak. Ia melambangkan semangat kerja keras, keusahawanan dan ketabahan masyarakat yang membangunkan bandar ini, khususnya menerusi usaha meneroka peluang baharu dalam sektor pertanian, perdagangan dan industri perkayuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di Sibu, malam tadi.
Tambah Abang Johari, Sibu turut mempunyai nilai sejarah penting menerusi perjuangan tokoh tempatan seperti Allahyarham Rosli Dhoby bersama rakan seperjuangan beliau yang memperlihatkan keberanian dan kecintaan terhadap Sarawak.
“Semangat keberanian, pengorbanan dan kecintaan kepada Sarawak yang ditunjukkan oleh para pejuang terdahulu perlu terus menjadi inspirasi kepada generasi hari ini untuk mentransformasikan Bumi Kenyalang sebagai kuasa ekonomi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Premier memaklumkan bahawa setiap wilayah mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menyumbang kepada kemajuan keseluruhan negeri.
Tegasnya, Lawas akan terus menjadi pemangkin pembangunan wilayah utara, Miri diperkukuh sebagai hab tenaga, pelancongan dan ekonomi kreatif, Bintulu sebagai hab industri masa hadapan, Kuching sebagai pusat pentadbiran, inovasi dan ekonomi digital, manakala Sibu terus memainkan peranan sebagai pusat perdagangan dan logistik bagi wilayah tengah Sarawak.
Apabila setiap wilayah berkembang mengikut kekuatan masing-masing ujarnya, keseluruhan ekonomi Sarawak akan menjadi lebih berdaya tahan dan mampu menyumbang dengan lebih besar kepada kemajuan Malaysia. – TVS





