SIBU: Program derma darah anjuran Kelab Rekreasi Warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu mencatatkan kejayaan apabila berjaya menarik seramai 71 penyertaan, melepasi sasaran awal Hospital Sibu iaitu 50 penderma.
Program yang berlangsung lebih lima jam di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di bandar tersebut mendapat sambutan luar jangkaan, sekali gus menyumbang bekalan tambahan kepada Unit Transfusi Darah Hospital Sibu.
Menurut Ketua Cawangan JPJ Sibu, Nurul Fairezzah Safri, daripada 71 yang berdaftar, dua tidak melepasi tapisan pemeriksaan kesihatan kerana masalah darah tinggi, manakala enam lagi gagal tapisan saringan.
“Hanya 63 penderma yang berjaya melepasi tapisan, namun jumlah ini sudah cukup besar dan memberi kesan positif kepada tabung darah hospital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, kejayaan program itu membuktikan matlamat penganjuran tercapai, malah pihak Hospital Sibu turut menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dengan Kelab Rekreasi Warga JPJ Sibu pada masa hadapan.
Nurul turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut. Katanya, kejayaan kali ini menjadi dorongan untuk menjadikan program derma darah sebagai acara tahunan kelab.





