KUCHING: Kelantan City FC mengakui kekuatan serangan Kuching City FC menjadi pemisah utama selepas tewas 1-4 pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA Malaysia 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Ketua jurulatih Kelantan City, Alfredo Carlos berkata, pasukannya bermula dalam keadaan kurang tersusun dan memerlukan kira-kira 20 hingga 25 minit untuk mendapatkan rentak sebelum mula bermain mengikut perancangan.
“Pada awal permainan kami agak tidak tersusun. Kami perlukan masa untuk bermain dengan baik dan selepas itu barulah pasukan mula bermain seperti yang saya mahukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Bagaimanapun, Alfredo mengakui ketajaman The Cats di bahagian serangan menjadi faktor besar yang membezakan kedua-dua pasukan.
“Kami tahu kekuatan Kuching City terutama di bahagian serangan. Mereka sangat kuat dalam situasi ofensif dan itulah perbezaannya.
“Mereka bukan sahaja mempunyai kesebelasan utama yang baik, tetapi pemain di bangku simpanan juga mempunyai kualiti untuk mengubah permainan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kesilapan anak-anak buahnya sendiri dalam situasi pertahanan memberi ruang kepada Kuching City untuk menghukum pasukannya.
“Situasi serangan Kuching City banyak bermula daripada kesilapan kami sendiri. Kadang-kadang lebih mudah untuk bertahan dan tidak mengambil risiko, tetapi kami memilih untuk bermain. Apabila berdepan pasukan seperti mereka, kesilapan seperti itu boleh dihukum.
“Bagaimanapun, bagi saya beberapa situasi gol mereka menimbulkan persoalan. Gol pertama, pemain saya berada di garisan; gol kedua, saya rasa ofsaid dan satu lagi ada kekasaran.
“Itu pandangan saya. Saya tidak dapat melihat semula rakaman VAR, jadi saya hanya boleh bercakap berdasarkan apa yang saya lihat ketika perlawanan,” katanya.
Menurut Alfredo, perbezaan skuad juga jelas apabila Kelantan City hanya mempunyai tiga pemain import, berbanding Kuching City yang mempunyai lebih banyak pilihan berkualiti.
“Kekalahan ini tetap memberikan pengajaran penting kepada pasukan yang masih dalam proses pembentukan kerana saya baru sekitar dua bulan bersama Kelantan City.
“Semua perkara memerlukan masa. Kalau membina rumah, kita perlu bermula dari bawah sebelum sampai ke bumbung. Kuching City sekarang sudah mempunyai struktur yang sangat kukuh,” katanya.
Namun, Alfredo tetap mengakui anak-anak buahnya sudah memberikan segala yang termampu sepanjang perlawanan.
“Pemain saya melakukan yang terbaik dan cuba memenangi perlawanan dengan bermain bola sepak.
“Pada pandangan saya, kami tewas dengan bermaruah kerana pemain terus mencuba dan tidak berhenti bermain,” katanya.
Kekalahan 1-4 itu menyebabkan Kelantan City tersingkir dengan agregat 1-4, manakala Kuching City mara ke separuh akhir selepas aksi pertama di Kota Bharu berakhir seri 0-0.



