KELESTARIAN sumber nipah atau apong perlu diberi perhatian melalui usaha penanaman, penyelidikan dan pembangunan produk hiliran bagi memastikan sumber tersebut terus memberikan manfaat kepada masyarakat serta mempunyai nilai ekonomi yang mampan pada masa hadapan.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (ACEO) CRAUN Research Sdn Bhd (CRAUN), Dr Bala Jamel, pembangunan sumber nipah ketika ini masih berdepan dengan beberapa cabaran, antaranya sebahagian besar pokok nipah tumbuh secara semula jadi atau liar di kawasan berhampiran sungai.
“Oleh yang demikian, CRAUN menjalankan kajian berkaitan penanaman nipah di kawasan daratan yang lebih sesuai dan selamat daripada ancaman hidupan liar.
“Penanaman di kawasan daratan juga dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada sumber nipah liar yang sedia ada, sekali gus membantu menjamin kelestarian bekalan bahan mentah berasaskan nipah pada masa hadapan.
“Kaedah penanaman yang lebih sistematik bukan sahaja memudahkan pengurusan dan pemantauan tanaman, malah berpotensi menarik minat golongan muda untuk terlibat dalam program penanaman nipah yang bakal dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB),” katanya.
Menurut Dr Bala, konsep kelestarian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada memastikan pertumbuhan pokok nipah secara berterusan, tetapi turut merangkumi usaha memanfaatkan keseluruhan hasil tanaman tersebut secara optimum bagi mengelakkan pembaziran.
“Dalam konteks ini, nipah mempunyai potensi untuk dibangunkan melalui konsep sifar sisa dengan menghasilkan pelbagai produk hiliran daripada sumber yang sama, termasuk gula apong, minuman berasaskan air nira apong segar, garam, dan cuka.
“Penghasilan pelbagai produk bernilai tambah bukan sahaja dapat meningkatkan nilai ekonomi sumber nipah, malah membuka peluang kepada pembangunan industri makanan dan produk hiliran berasaskan sumber tempatan.
“Apabila lebih banyak produk dapat dihasilkan daripada sumber yang sama, nilai ekonomi nipah akan menjadi lebih tinggi dan manfaatnya dapat dinikmati oleh pemain industri nipah, khususnya pekebun kecil,” katanya.
Selain pembangunan produk hiliran, kawasan tanaman nipah juga berpotensi dibangunkan sebagai Pusat Agro-Pelancongan Pokok Nipah yang mengintegrasikan elemen pertanian, pelancongan, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi komuniti.
Pusat tersebut berpotensi menjadi tarikan baharu dengan memberi peluang kepada pengunjung mengenali tanaman nipah secara lebih dekat, termasuk aspek penanaman, pengurusan, penuaian dan pemprosesan hasil nipah seperti nira, gula apong, sirap serta pelbagai produk makanan.
Selain berfungsi sebagai pusat rekreasi dan pendidikan, ia juga boleh menjadi platform promosi dan demonstrasi teknologi berkaitan penanaman, pemprosesan dan pembangunan produk berasaskan nipah.
Pelibatan komuniti setempat dalam aktiviti penanaman, pengeluaran, pemprosesan, pemasaran produk dan perkhidmatan agropelancongan pula berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta sumber pendapatan tambahan, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
“Kita boleh melihat nipah bukan sekadar sebagai bahan mentah, tetapi sebagai satu ekosistem yang menggabungkan penyelidikan, pembangunan produk makanan, pendidikan, pemindahan teknologi dan agropelancongan,” katanya.
Pada masa sama, penyelidikan berkaitan agronomi, pengurusan tanaman dan teknologi pemprosesan perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan kefahaman terhadap kaedah penanaman serta pengurusan nipah secara lebih sistematik dan produktif.
Kerjasama strategik antara institusi penyelidikan, universiti, agensi kerajaan dengan pemain industri juga penting bagi memperluas perkongsian pengetahuan, pembangunan teknologi, latihan serta pemindahan teknologi kepada komuniti dan pekebun kecil.
Kelestarian sumber nipah perlu dilihat secara menyeluruh, bermula daripada aspek penanaman dan pengurusan sumber, diikuti penuaian, pemprosesan, pembangunan produk bernilai tambah sehinggalah ke pemasaran.
“Dengan pendekatan yang bersepadu, nipah atau apong bukan sahaja dapat dipelihara sebagai sumber semula jadi, malah berpotensi dibangunkan sebagai sumber ekonomi yang mampan serta terus memberikan manfaat kepada masyarakat melalui penghasilan produk bernilai tambah,” katanya.



