Keluar dari Malaysia idea kurang bijak

KUCHING: Sarawak bakal berdepan ancaman sekiranya bertindak keluar dari Malaysia dan jangan jadikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai alasan untuk berpisah daripada Malaysia.

Penganalisis politik juga pensyarah kanan UiTM Kota Samarahan Dr Nadrawina Isnin berkata, rakyat juga harus memikirkan tentang keselamatan negeri ini.

“Apakah Sarawak mempunyai cukup peralatan canggih atau anggota keselamatan untuk mempertahankan Bumi Kenyalang?” soalnya.

Justeru, beliau menegaskan adalah lebih baik sekiranya Sarawak kekal dalam Malaysia.

“Perlu kita fikirkan sempadan antara Sabah dan Kalimantan, lebih nyata ialah aspek keselamatan sempadan yang harus difikirkan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bukan sahaja ancaman luar, Nadrawina berkata Sarawak juga boleh berdepan ancaman dalam negeri jika tidak ditangani dengan bijak.

“Yang dibimbangi ialah anasir jahat yang mungkin ada agenda tersendiri,” katanya.

Selain itu, Nadrawina berkata, aspek kewangan juga harus difikirkan kerana ia boleh menjejaskan Sarawak.

Katanya, peruntukan persekutuan untuk Sarawak dan negeri lain di Malaysia dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri masing-masing.

“Selama ini perpaduan sudah lama utuh dibina di Sarawak dan Sarawak menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia. Maka terus buktikan bahawa berlainan bangsa tidak semestinya tidak bersatu.

“Malah, perbezaan inilah menjadikan Sarawak lebih unik. Rakyat berbilang bangsanya menyantuni sesama sendiri,” katanya.

Setiausaha Agung Pemuda SUPP Milton Foo dilaporkan mencadangkan satu referendum diadakan mengenai masa depan Sarawak dalam Malaysia sekiranya rundingan dengan Putrajaya berhubung perkongsian setaraf dalam persekutuan menemui jalan buntu.

Beliau mendesak GPS menetapkan satu tempoh waktu bagi rundingan itu.

Beliau mendakwa ada bercakap dengan akar umbi dan mendapati ramai percaya bahawa Sarawak harus keluar Malaysia jika Kerajaan Persekutuan enggan mengembalikan hak kita di bawah MA63.

Francis Paul Siah, yang mengetuai Movement for Change di Sarawak, menyetujui idea mengenai referendum sambil menyifatkan generasi Sarawak hari ini tidak membuat keputusan pada 1963 untuk menyertai pihak lain bagi membentuk Malaysia.

Beliau memberitahu ramai yang lain maklum tentang wujudnya pihak dalam GPS yang menyokong idea penarikan diri daripada Persekutuan Malaysia.

Katanya keadaan itu berpunca daripada semangat patriotisme yang meningkat serta rasa tidak puas hati terhadap Putrajaya berhubung dasarnya yang didakwa bersifat perkauman dan agama.