ARTIKEL

Keluarga di tempat kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMALAM saya menziarahi bapa kepada salah seorang wartawan kami yang meninggal dunia.

Pemergiannya masih baru dan suasananya masih dipenuhi wajah-wajah yang sedang cuba menerima hakikat, seorang bapa yang selama ini ada, kini sudah tiada. Saya datang bukan untuk berkata banyak.

Dalam keadaan seperti itu, kadang-kadang kehadiran lebih bermakna daripada kata-kata.

Ada sesuatu yang sedikit menjentik hati saya ketika melihat keluarga wartawan kami itu.

Mungkin kerana saya pernah berada dalam situasi yang hampir sama.

Januari tahun lalu, saya sendiri melalui satu kehilangan yang mengubah banyak perkara.

Kehilangan orang yang kita sayang bukan sesuatu yang mudah untuk diterangkan.

Kita boleh bercakap tentangnya, kita boleh mengingatinya tetapi hanya mereka yang pernah melaluinya benar-benar tahu bagaimana rasanya apabila seseorang yang selama ini ada, tiba-tiba tidak lagi ada.

Namun kali ini saya datang sebagai seorang majikan, sebagai ketua dan sebagai rakan sekerja kepada dia yang sedang melalui kehilangan kerana sebahagian daripada keluarganya berada jauh.

Kehadiran saya bersama-sama beberapa rakan sekerja sekurangkurangnya memberi sedikit rasa dalam keadaan seperti itu, dia tidak menghadapinya sendirian.

Ini kerana sebuah organisasi bukan hanya tentang pejabat, tugasan, tarikh akhir atau halaman akhbar.

Di sebalik semua itu, ada kami.

Saya mengenali mereka melalui kerja dan berita yang mereka hasilkan tetapi kehidupan sebenarnya jauh lebih besar daripada apa-apa yang kita lihat di pejabat.

Apabila berlaku sesuatu kepada keluarga mereka, barulah kita sedar setiap orang yang bekerja bersama-sama kita datang dengan cerita, tanggungjawab dan kehidupan masing-masing.

Dalam dunia kewartawanan, hubungan antara ketua dengan wartawan juga kadang-kadang unik.

Kita boleh bertengkar kerana berita, mengejar mereka kerana tugasan belum siap, membetulkan tulisan, meminta mencari maklumat tambahan dan dalam masa yang sama berkongsi cerita tentang kehidupan.

Itulah rutin biasa. Namun apabila kematian datang kepada keluarga, semua urusan kerja itu seketika menjadi kecil.

Yang lebih penting ialah mereka yang di hadapan kita dan apa-apa yang sedang mereka lalui.

Apabila saya melihat ibunya duduk di penjuru, saya terfikir, setiap anak pasti mempunyai hubungan tersendiri dengan ibu bapa mereka.

Ada yang rapat, ada yang mungkin tidak selalu berkesempatan untuk pulang terutama apabila bekerja jauh dari kampung halaman.

Namun apabila seorang bapa atau ibu pergi, kita tetap akan terasa kehilangan itu.

Kita mungkin sudah dewasa, mempunyai pekerjaan dan keluarga sendiri tetapi di mata ibu bapa, kita tetap anak mereka.

Sebab itu bagi saya, kehilangan ibu bapa juga menjadi kehilangan satu tempat untuk pulang.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar kehidupan sehingga lupa masa bersamasama ibu bapa sebenarnya terbatas.

Kita fikir masih ada masa untuk pulang, masih ada masa untuk bertanya khabar dan masih ada masa untuk duduk berbual. Sehinggalah suatu hari, kita sedar masa itu sudah tiada.

Saya tidak mahu mengatakan masa akan menyembuhkan semuanya.

Saya rasa, kita tidak pernah benar-benar sembuh daripada kehilangan orang yang kita sayang.

Kita cuma belajar hidup bersamanya.

Pada awalnya, kehilangan itu terasa setiap hari.

Kemudian mungkin setiap minggu.

Lamakelamaan, ia datang dalam bentuk yang berbeza, melalui gambar lama, video yang pernah dirakam, tempat yang pernah dikunjungi bersama atau perkara kecil yang tiba-tiba mengingatkan kita kepada seseorang.

Begitulah hidup.

Kita terus bergerak walaupun ada sebahagian daripada kehidupan kita yang berubah selepas seseorang pergi.

Ziarah semalam juga mengingatkan saya yang dalam kehidupan ini, kita tidak tahu berapa lama masa yang diberikan kepada kita untuk bersama seseorang.

Sebab itu, selagi ada kesempatan, kita sepatutnya hadir.

Hadir ketika seseorang memerlukan kita.

Hadir ketika mereka sakit.

Hadir ketika mereka kehilangan dan hadir juga ketika mereka sedang gembira.

Tidak semestinya dengan membawa sesuatu.

Kadangkadang cukup dengan duduk sebentar, bertanya khabar dan menunjukkan bahawa kita mengambil berat.

Sebagai manusia, kita mungkin tidak mampu menghilangkan kesedihan orang lain.

Kita tidak mampu mengembalikan mereka yang telah pergi tetapi kita masih boleh memilih untuk tidak membiarkan mereka yang ditinggalkan melalui kesedihan itu seorang diri.

Mungkin itulah yang paling mampu kita lakukan.

Cukup dengan hadir.

Dan semalam, saya hadir sebagai ketua, sebagai rakan sekerja dan sebagai seorang manusia yang juga pernah kehilangan.

Mungkin selepas ini, dia akan kembali ke pejabat seperti biasa.

Tugasan akan datang, berita perlu disiapkan dan halaman akhbar tetap perlu bergerak seperti harihari sebelumnya. Tetapi saya percaya, ada sesuatu dalam dirinya yang sudah berubah. Kehilangan bapa akan sentiasa meninggalkan ruang yang tidak mungkin diisi oleh perkara lain.

Sebagai ketua, saya mungkin tidak mampu melakukan banyak perkara untuk mengurangkan kehilangan itu.

Begitu juga rakan-rakan sekerja yang lain.

Kami tidak mampu mengembalikan apa-apa yang telah pergi, namun sekurangkurangnya, dia tahu bahawa ada orang di sekelilingnya yang mengambil berat.

Mungkin itulah maksud sebenar sebuah keluarga di tempat kerja. Kita tidak hanya berkongsi meja, tugasan dan tekanan pekerjaan.

Ada waktunya kita berkongsi kegembiraan dan ada waktunya kita turut menanggung kesedihan seorang daripada kita.

Saya sendiri pernah melaluinya dan tahu selepas semua orang pulang, selepas ucapan takziah berhenti dan rumah kembali sunyi, kehidupan perlu diteruskan. Ketika itulah seseorang benar-benar belajar menyesuaikan diri dengan ketiadaan yang baharu.

Dan, mungkin itu juga yang saya mahu wartawan kami ini tahu — bapanya telah pergi, tetapi dia tidak perlu melalui hari-hari selepas kehilangan itu seorang diri.

Kami mungkin tidak mempunyai jawapan kepada kesedihan tetapi kami boleh menjadi orang yang tetap ada ketika dia perlukan.

Ini kerana dalam hidup ini, kita tidak pernah tahu siapa yang akan pergi dahulu.

Yang kita tahu, selagi masih ada kesempatan, jangan terlalu berkira untuk datang, bertanya khabar dan meluangkan sedikit masa.

Kadang-kadang perkara yang kita anggap kecil itulah yang paling lama tinggal dalam ingatan seseorang.

Dan, apabila sampai waktunya seseorang berhadapan dengan kehilangan, mungkin yang paling bermakna bukan apa-apa yang kita mampu katakan.

Namun kita memilih untuk tidak membiarkan mereka menghadapinya sendirian.

BERITA LAIN

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak. Ketua Penerbitan, Pembangunan

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap