MIRI: Program Kem Ramadan memberikan pendekatan inovatif dalam mendidik kanak-kanak mengenai Islam secara interaktif dan menyeronokkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program ini bukan sahaja selari dengan suasana Ramadan, malah bertepatan dengan kaedah pembelajaran yang sesuai untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah.
“Pendekatan secara bersahaja, tidak formal dan menyeronokkan menjadikan program ini sangat berkesan untuk mendidik anak-anak.
“Selain itu, mereka diajar dengan cara yang sesuai mengikut peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kem Ramadan di Masjid Darul Ehsan Piasau, di sini, hari ini.
Menurutnya, program ini turut memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai peranan masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi juga sebagai pusat ilmu dan aktiviti komuniti.
Jelas Fatimah, inisiatif ini juga selaras dengan konsep pembelajaran melalui pengalaman, yang menekankan pendidikan di luar bilik darjah bagi memberikan kefahaman lebih mendalam kepada kanak-kanak.
“Melalui program ini, kanak-kanak bukan sahaja mengenali masjid sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran dan interaksi sosial.
“Mereka berpeluang berkenalan dengan rakan dari tadika lain dan belajar berkomunikasi dalam suasana yang lebih luas,” tambahnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk keperibadian serta pemahaman asas Islam sejak usia muda.
Dalam pada itu, program ini turut memberi penekanan kepada aspek adab di masjid dengan mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan menghormati jemaah lain ketika solat.
“Sering kali kita dengar rungutan tentang kanak-kanak yang berlari dalam masjid ketika solat.
“Inilah peluang terbaik untuk mendidik mereka mengenai adab di masjid secara praktikal,” ujarnya.
Fatimah berharap konsep pendidikan interaktif seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak masjid dan institusi pendidikan di Sarawak bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengalaman pembelajaran Islam yang lebih menyeluruh.
Terdahulu, program ini merupakan anjuran Masjid Darul Ehsan dengan kerjasama Tadika Astana, di bawah Biro Pendidikan, Dakwah dan Kebudayaan.


