KUCHING: Kem Sape 2024 bertemakan Memupuk Bakat dan Memacu Perpaduan bakal berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian program selama lapan hari sehingga 7 Disember 2024.
Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), Datuk Aloysius J. Dris berkata, program kali ini bakal menampilkan seramai 20 orang peserta berusia lingkungan 15 hingga 29 tahun dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
“Aktiviti akan merangkumi bengkel, demonstrasi pembuatan sape, manakala acara kemuncak iaitu konsert perpaduan akan dilaksanakan di Plaza Merdeka pada 7 Disember dan untuk makluman semua, ia adalah terbuka dan percuma kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media Kem Sape di Bilik Zodiac, Hotel Harbour View, di sini, hari ini.
Program itu katanya, akan lebih memfokuskan kepada tiga perkara utama iaitu pendidikan budaya, pembangunan kemahiran, dan penghayatan kraf.

“Bagi pendidikan budaya, ia menonjolkan asal usul, sejarah, dan kepentingan sape manakala pembangunan kemahiran merangkumi pemberian latihan profesional dalam komposisi sape dan ekspresi kreatif.
“Sementara penghayatan kraf lebih menunjukkan seni pembuatan sape yang penuh dengan kehalusan reka bentuk,” tambahnya.
Mengenai program itu, Aloysius menzahirkan penghargaan kepada beberapa pakar muzik kerana banyak membantu dalam memastikan kesinambungan program terhadap muzik berjalan lancar.
“Bersyukur kita kerana program ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada ikon dan pakar muzik sape seperti Matthew Ngau Jau dan Dr Connie Lim Keh Nie.
“Mereka banyak membantu memastikan kesinambungan program ini dengan menggabungkan aspek teori dan praktikal alat muzik ini,” katanya.
Justeru tegasnya, sape bukan sahaja sebagai alat muzik tetapi sebagai simbol perpaduan yang mampu menyentuh hati semua.
Terdahulu, bagi program sama tahun lalu, beliau menegaskan seramai 15 individu berbakat berjaya dilahirkan.
Katanya, kesemua peserta tersebut kini telah menjadi duta YPS Sape sekali gus telah terlibat dalam beberapa program pentas ternama seperti Festival Budaya Borneo 2023, Regata Baram, Regata Sarawak dan Pesta Kaul Mukah.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK), Elizabeth Bungan dan pakar budaya Sarawak, Narawi Rashidi.


