ARTIKEL

BERI AMANAT: Nancy ketika berucap merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe-13 di Kolej Komuniti Santubong, hari ini.

Kemahiran pastri bantu wanita jana pendapatan, tingkat ekonomi keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kemahiran memasak pastri yang diperoleh menerusi Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe-13 perlu dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan bagi membantu wanita meningkatkan ekonomi keluarga, sekali gus keluar daripada kitaran kemiskinan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kemahiran yang dipelajari tidak seharusnya terhenti selepas tamat kursus, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dengan menghasilkan produk yang mempunyai nilai pasaran.

PERKASAKAN WANITA: Nancy mencuba membuat pastri semasa hadir merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe-13 di Kolej Komuniti Santubong, hari ini.

Beliau berkata usaha memonetisasikan kemahiran dan ilmu yang dimiliki mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada keluarga, selain membuka ruang kepada peserta untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Apabila sesuatu kemahiran berjaya dijadikan sumber pendapatan untuk keluarga, ia bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup, malah membina masa depan dengan lebih baik.”

“Peluang yang diwujudkan hari ini mampu membantu sesebuah keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan, seterusnya menjadi titik permulaan kepada perubahan kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe-13 di Kolej Komuniti Santubong, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Fatimah Rosli, Pengarah Kolej Komuniti Santubong, Abdullah Latep Mustapha, Pegawai KEMAS Bahagian Kuching, Hazlinah Samsir dan Zuraidah Jemeli serta Penghulu Kampung Selabat dan Kampung Muara Tebas, Alli Matsah.

Selain itu, Nancy berkata program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Kolej Komuniti Santubong, membabitkan 10 peserta dari kawasan Parlimen Santubong.

Menurutnya, selain menerima latihan, peserta turut diberikan Kit Peralatan Memasak Pastri bagi membolehkan mereka mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dan memulakan aktiviti menjana pendapatan.

“Gunakanlah peluang dan ruang yang diberikan ini sebaik mungkin.”

“Buktikan kepada masyarakat bahawa kita mampu berjaya dengan kemahiran yang dimiliki,” tegasnya.

Pada masa sama, Nancy menjelaskan kemajuan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan rakyat meningkatkan kemahiran dan membangunkan modal insan.

Jelasnya, pendekatan pembangunan kapasiti dan modal insan menjadi antara teras pembangunan Parlimen Santubong, terutama dalam mendepani keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Dalam kita mendepani ekonomi yang mencabar, kemahiran bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.”

“Ilmu yang dipelajari perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata program pemerkasaan seumpama itu tidak hanya akan memberi tumpuan kepada wanita, malah turut diperluas kepada kanak-kanak, termasuk menerusi kerjasama dengan pihak pendidikan.

Katanya, pendedahan kemahiran kepada kanak-kanak sejak di bangku sekolah berpotensi membantu mereka mengenal pasti peluang untuk menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan pada masa hadapan.

“Kita mahu pemerkasaan bukan hanya untuk wanita, tetapi juga kanak-kanak di sekolah supaya mereka dapat menggunakan ilmu itu untuk dimonetisasikan.”

“Misalnya, menghasilkan sesuatu produk yang boleh dijual pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, program pembangunan kemahiran juga akan diteruskan di kawasan lain dalam Parlimen Santubong menerusi pelbagai pendekatan bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

Nancy turut menekankan kepentingan aspek kualiti, perancangan, pengurusan masa dan pemasaran, termasuk memanfaatkan platform dalam talian bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing di pasaran.

Menurutnya, kemahiran tanpa perancangan perniagaan yang baik tidak memadai kerana peserta perlu mengetahui jumlah pengeluaran, kualiti bahan, pasaran sasaran dan kaedah pemasaran yang sesuai.

Katanya lagi, penggunaan platform dalam talian juga membuka peluang lebih luas kepada usahawan kecil untuk memasarkan produk tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah jualan secara bersemuka.

Sehubungan itu, Nancy memberitahu inisiatif seperti kursus kemahiran perlu diteruskan menerusi pendekatan whole-of-government bagi memastikan pelbagai agensi dapat bekerjasama dalam memperkasa masyarakat serta melahirkan lebih ramai rakyat berkemahiran, berdikari dan berdaya saing.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Kuching City buru kemenangan kelima di Brunei

KUCHING: Kuching City FC memburu kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super 2026-2027 apabila bertandang ke Brunei menentang DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah,

Budayakan sukan demi Visi 2030

MUKAH: Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah menjadi platform menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti sukan dan rekreasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat. Pegawai Belia