ARTIKEL

Julaihi ditemani tetamu kehormat lain menyampaikan cenderahati kepada penceramah yang hadir pada program itu.

Kemajuan pembangunan jangan diperlekeh demi kepentingan politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBUYAU: Isu berkaitan pembangunan infrastruktur tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk memburukkan imej kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi menggesa orang ramai supaya menilai secara adil usaha penambahbaikan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan, bukannya hanya menumpukan kelemahan sehingga mengabaikan kemajuan yang dicapai selama ini.

“Jangan mengambil kesempatan untuk memberikan gambaran negatif. Dahulu, menara telekomunikasi pun belum ada di kawasan ini (Sebuyau), apatah lagi menikmati tahap bekalan elektrik seperti yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Taklimat Keselamatan Elektrik Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Bagaimanapun, Julaihi mengakui bahawa perkhidmatan infrastruktur di Sarawak masih belum mencapai tahap kesempurnaan, namun menegaskan negeri ini mencatatkan kemajuan ketara, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kita mungkin belum mencapai tahap 100 peratus tetapi jika dibandingkan dengan keadaan dahulu kemudahan seperti bekalan air, elektrik, internet, telekomunikasi dan gas kini jauh lebih baik.

“Begitu juga dengan jalan raya dan benteng.

Jika sudah lama tidak pulang ke kampung, tanyalah kepada penduduk setempat.

Jangan mereka-reka cerita,” tegasnya.

Beliau turut mengetengahkan peruntukan RM2.3 bilion oleh kerajaan negeri bagi memperluas kemudahan telekomunikasi serta RM6.46 bilion untuk pembangunan infrastruktur bekalan air sebagai bukti komitmen kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan asas kepada rakyat.

Selain itu, Julaihi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau menjelaskan sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Samarahan yang meliputi kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Gedong.

Julaihi turut menjadikan pembinaan Jambatan Batang Lupar sebagai contoh projek infrastruktur berskala besar yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, projek berkenaan sebelum ini dibatalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sebelum diteruskan semula oleh kerajaan GPS.

Beliau menegaskan bahawa segala kemajuan dan perubahan yang dinikmati rakyat hasil pelaksanaan pembangunan selama ini perlu diakui serta dinilai secara saksama, bukannya diputarbelitkan demi kepentingan politik.

BERITA LAIN

JHS tegaskan komitmen Sarawak pelihara hutan, biodiversiti

KUCHING: Sarawak kekal komited dalam mengekalkan hutan simpan kekal, memperkukuh rangkaian Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), memulihara biodiversiti serta menggalakkan pengurusan hutan secara mampan. Demikian ditegaskan

BERITA TERBARU