KUCHING: Seorang remaja lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memasuki Malaysia tanpa permit.
Hakim Mursyida Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 November lalu, kira-kira 3.40 petang, dalam sebuah kedai di Jalan Semarak.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000, kerana terlibat dalam pengendalian mesin judi atas talian.
Gagal menjelaskan denda, mahkamah memerintahkan tertuduh tambahan penjara satu bulan.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Kesalahan itu dilakukan di kedai yang sama pada hari kejadian, apabila tertuduh didapati mengendalikan mesin judi menggunakan sebuah telefon bimbit jenama Redmi.
Fakta kes mendedahkan, polis menyerbu sebuah premis di Jalan Semarak sebelum menahan tertuduh kerana mengendalikan mesin judi tersebut.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah telefon bimbit Redmi dan wang tunai berjumlah RM440.
Hasil siasatan laporan pakar judi mengesahkan bahawa telefon bimbit berkenaan digunakan sebagai mesin perjudian mengikut takrifan Seksyen 2 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Marvind Kaliyani dan DPP Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






