SARATOK: Setiap kontraktor yang diberikan tanggungjawab melaksanakan projek pembangunan di kawasan luar bandar perlu memahami spesifikasi dan keperluan kerja yang ditetapkan bagi memastikan hasilnya memenuhi keperluan penduduk.
Ketua Masyarakat Kawasan Kupang/Kaba, Penghulu Missis Aris berkata, dalam pelaksanaan projek menaik taraf jalan lorong misalnya, kontraktor perlu memahami spesifikasi teknikal termasuk ukuran lebar dan ketinggian jalan serta memastikan mutu kerja menepati piawaian ditetapkan.
Menurutnya, kerja pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan secara sambil lewa atau sekadar memenuhi syarat untuk menyiapkan projek.

“Sebaliknya, setiap kemudahan yang dibina perlu mengutamakan aspek kualiti, keselamatan dan ketahanan supaya dapat dimanfaatkan penduduk dalam jangka panjang.
“Hal ini penting bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan yang disalurkan menghasilkan kemudahan berkualiti dan tidak mengecewakan masyarakat sebagai penerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi pasukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sarawak melakukan pemeriksaan akhir Projek Naik Taraf Jalan Lorong di Kampung Kupang Hilir, dekat sini, hari ini.
Jelasnya, penduduk kini dapat menikmati kemudahan jalan lorong yang lebih baik apabila projek sepanjang 310 meter itu siap sepenuhnya selepas lebih tiga bulan menunggu.
Penyiapan projek berkenaan disahkan menerusi pemeriksaan akhir oleh pasukan KKDW Sarawak.
Projek di bawah inisiatif Jalan Perhubungan Desa (JPD) KKDW Sarawak itu bertujuan memperbaiki kemudahan perhubungan, sekali gus meningkatkan keselesaan dan akses penduduk luar bandar.
Pelaksanaannya juga mencerminkan usaha penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, dalam memperjuangkan keperluan infrastruktur asas penduduk di kawasan yang diwakilinya.
Sehubungan itu, beliau mewakili penduduk Kampung Kupang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamad atas perhatian serta usaha merealisasikan kemudahan pembangunan yang diperlukan masyarakat setempat.
“Penghargaan turut diberikan kepada pasukan KKDW Sarawak yang diketuai Iswandy serta kontraktor, Ziyadh Rizqi Enterprise, atas kerjasama dalam menjayakan projek ini.
“Kami berharap setiap projek pembangunan selepas ini terus mengutamakan kualiti, ketelitian dan kepentingan rakyat supaya kemudahan yang disediakan dapat dinikmati untuk tempoh yang panjang,” tegasnya.
Beliau turut memuji komitmen ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kupang Hilir yang diketuai Jepri Johari dalam memantau pelaksanaan projek berkenaan.
Tambahnya, setiap maklum balas dan teguran membina daripada pihak JKKK serta penduduk perlu diberi perhatian serius oleh kontraktor bagi memastikan mutu kerja terbaik.
Untuk rekod, penyerahan projek berkenaan kepada kontraktor berlangsung pada 27 Ogos lalu, sekali gus menandakan bermulanya kerja pembinaan dan disahkan siap sepenuhnya hari ini.






