ARTIKEL

kemalangan jalan raya meningkat 2.4 peratus bagi tempoh Jan-Nov 2024, Hasbi Habibollah, kemalangan jalan raya Sarawak, kempen keselamatan jalan raya Krismas 2024, statistik kemalangan PDRM, JPJ Sarawak penguatkuasaan, undang-undang jalan raya Malaysia
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah. - Foto: Ghazali Bujang

Kemalangan jalan raya di Sarawak catat 19,964 kes bagi tempoh Jan-Nov 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Statistik kemalangan jalan raya di Sarawak mencatatkan 19,964 kes, iaitu peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding pada tahun sebelumnya yang merekodkan 19,498 kes.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata laporan itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari tempoh Januari hingga November 2024.

“Walaupun terdapat penurunan kes kemalangan maut sebanyak tiga peratus pada tahun ini, iaitu daripada 336 kes pada 2023 kepada 326 kes pada 2024, penurunan ini masih belum cukup menggambarkan perubahan sikap ketara dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya lagi, statistik juga menunjukkan peningkatan kes kemalangan melibatkan kenderaan pengangkutan awam, dengan 59 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 56 kes pada tahun lalu.

“Namun, tiada kemalangan maut direkodkan bagi kenderaan pengangkutan awam pada tahun ini, berbeza dengan tahun lepas yang mencatatkan satu nyawa terkorban,” katanya.

Menyedari peningkatan yang membimbangkan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, melalui JPJ Sarawak, melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Krismas 2024.

Kempen ini bukan hanya bertujuan mendidik orang ramai, tetapi turut melibatkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

JPJ Sarawak akan meneruskan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk tindakan tegas terhadap pesalah jalan raya.

“JPJ Sarawak juga tidak akan berkompromi dengan pesalah jalan raya yang mengabaikan keselamatan diri dan orang lain,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kempen tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, terutamanya kemalangan maut, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan pelbagai sumber dan tenaga untuk memperbaiki infrastruktur jalan raya demi keselamatan rakyat.

“Namun, kejayaan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama semua pihak, terutamanya pengguna jalan raya.

“Jika segelintir individu masih mengabaikan undang-undang jalan raya, kempen ini tidak akan memberi impak yang dihasratkan,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar semua pengguna jalan raya lebih berhati-hati, terutamanya ketika pulang ke kampung halaman sempena musim cuti sekolah dan perayaan Krismas.

Orang awam dialu-alukan untuk melaporkan kesalahan lalu lintas yang berlaku, seperti kesalahan pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan, dengan menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau melalui email aduantrafik@jpj.gov.my.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

XPDC Bario 375km meri pengelantang

KUCHING: Pengeransing Sapit Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ngabas jalai menua ulu nengah XPDC 1.0 Bario ba taun 2025 dipuji komuniti Kenyah enggau