MANILA: Tiga puluh satu orang, termasuk wanita warga emas dan kanak-kanak, cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah bas kecil dan sebuah kereta di wilayah Pampanga, utara Manila, menurut polis, lapor Xinhua.
Kemalangan berlaku sekitar 9 pagi waktu tempatan apabila bas kecil tersebut hilang kawalan, berpusing, dan melanggar sebuah kereta sebelum terbalik di kawasan berumput di tepi lebuh raya di Bandar San Fernando.
Kedua-dua kenderaan itu sedang menuju ke arah utara.
Polis memaklumkan bahawa mangsa yang cedera, termasuk seorang bayi berusia 10 bulan, telah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Seorang saksi memberitahu televisyen tempatan bahawa mangsa berjaya keluar melalui bukaan di bahagian belakang bas, namun ramai penumpang mengalami luka di bahagian dahi dan anggota badan lain. – BERNAMA



