Dalam dunia media sosial yang sentiasa berubah, jarang sekali kita melihat kemunculan sebuah aplikasi yang begitu pantas memikat perhatian ramai seperti Threads.
Dilancarkan oleh Meta sebagai ‘adik’ kepada Instagram, aplikasi ini pada awalnya dilihat sekadar sebagai alternatif kepada platform sedia ada. Namun, realitinya jauh berbeza.
Threads kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, termasuk saya sendiri yang pada mulanya sekadar ingin mencuba—akhirnya terus “terjebak”.
Secara asasnya, Threads menawarkan pengalaman yang ringkas tetapi berkesan, iaitu platform berasaskan teks yang memberi ruang kepada pengguna untuk berkongsi pandangan, cerita harian, mahupun reaksi terhadap isu semasa dengan pantas.
Dalam era yang kandungan visual seperti video pendek dan gambar sering mendominasi, Threads tampil dengan pendekatan yang seakan-akan mengembalikan “roh” perbualan digital yang lebih santai dan bersahaja.
Salah satu kelebihan utama Threads ialah integrasinya yang kukuh dengan Instagram. Pengguna tidak perlu membina kehadiran dari awal kerana akaun, senarai pengikut, serta identiti digital boleh diselaraskan secara automatik.
Hal ini memberikan kelebihan yang signifikan berbanding platform lain yang memerlukan masa untuk membina komuniti.
Dalam konteks wartawan dan pengamal media, keupayaan ini amat penting kerana ia membolehkan kredibiliti serta capaian audiens dikekalkan tanpa gangguan.
Selain itu, Threads juga menawarkan suasana yang lebih “tenang” berbanding beberapa platform lain yang sering dikaitkan dengan perdebatan keras atau suasana toksik.
Walaupun tidak terlepas daripada polemik, pengalaman pengguna di Threads setakat ini dilihat lebih santai, kurang tekanan dan lebih fokus kepada interaksi sebenar sesama individu. Ia memberi ruang untuk berbual, bukan sekadar bersaing mendapatkan perhatian.
Menariknya, Threads juga dilihat sebagai platform yang lebih “manusiawi”. Kandungan yang dikongsi tidak semestinya perlu sempurna atau terlalu digilap.
Pengguna bebas melontarkan pemikiran spontan, sesuatu yang semakin jarang ditemui dalam ekosistem media sosial yang kini sarat dengan algoritma dan penjenamaan diri. Dengan kata lain, Threads menggalakkan keaslian.
Fenomena ini turut dapat dilihat dalam kalangan selebriti dan pencipta kandungan tempatan. Artis seperti Aisha Retno dan Kamal Adli dilihat aktif berinteraksi secara langsung dengan peminat, membalas komen serta berkongsi pandangan harian tanpa terlalu formal.
Pada masa sama, pencipta kandungan seperti Mrkokom memanfaatkan Threads sebagai platform untuk berkongsi nasihat serta tip berguna, khususnya dalam bidang videografi dan fotografi, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengikut.
Lebih menarik, terdapat juga kisah pengguna dari Malaysia yang tular apabila memuat naik gambar air matcha yang tertumpah di atas lantai. Kandungan yang ringkas itu berjaya meraih jumlah “like” dan “repost” yang luar biasa, malah antara yang tertinggi pernah direkodkan di Threads. Hal ini membuktikan bahawa kandungan yang jujur dan spontan masih mampu mencuri perhatian ramai.
Bagi golongan wartawan, aplikasi ini membuka dimensi baharu dalam penyampaian maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai saluran pantas untuk mendapatkan reaksi awam, berkongsi perkembangan terkini atau sekadar membina hubungan yang lebih dekat dengan pembaca.
Malah, Threads berpotensi menjadi ruang “pelaporan tidak formal” yang melengkapkan laporan formal di platform berita tradisional.
Namun, kelebihan Threads tidak terhenti di situ. Antara faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan penggunaannya ialah kemudahan navigasi serta antara muka yang mesra pengguna.
Aplikasi ini tidak banyak gangguan, tidak terlalu kompleks dan tidak membebankan pengguna dengan pelbagai fungsi yang tidak perlu. Dalam dunia digital yang sering terlalu “sibuk”, kesederhanaan ini menjadi satu kelebihan.
Tambahan pula, Threads hadir pada waktu yang tepat, ketika pengguna media sosial mula mencari alternatif kepada platform sedia ada yang semakin sarat dengan iklan, kontroversi dan perubahan dasar yang tidak menentu. Threads mengisi kekosongan tersebut dengan menawarkan sesuatu yang segar, walaupun asasnya tidak benar-benar baharu.
Namun begitu, tidak wajar untuk kita terlalu cepat mengangkat Threads sebagai platform yang sempurna.
Cabaran tetap wujud, termasuk isu privasi, kawalan kandungan dan keupayaan untuk mengekalkan momentum pengguna dalam jangka panjang. Sejarah media sosial menunjukkan bahawa populariti boleh berubah dalam sekelip mata.
Sebagai pengguna, saya sendiri mengakui bahawa “terjebak” dengan Threads bukanlah sesuatu yang dirancang.
Ia bermula dengan rasa ingin tahu, kemudian menjadi rutin harian, iaitu membaca, menulis, dan berinteraksi. Ada sesuatu tentang kesederhanaannya yang membuatkan kita terus kembali.
Akhirnya, Threads bukan sekadar satu lagi aplikasi media sosial. Ia mencerminkan perubahan dalam cara kita berkomunikasi, kembali kepada asas, kepada kata-kata dan kepada perbualan.
Dalam dunia yang semakin bising dengan visual dan sensasi, Threads hadir sebagai ruang kecil untuk kita berhenti sejenak dan berbicara. Dan mungkin, itulah sebab sebenar mengapa semakin ramai yang memilih untuk kekal di platform ini.



