ARTIKEL

Kembalikan Krismas sebagai medan perpaduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEKITAR awal 1980-an hingga pertengahan 1990-an, ketika penulis membesar sebagai kanak-kanak kepada remaja, sambutan Krismas sememangnya dinanti-nanti.

Pada waktu inilah, lazimnya, penulis akan mengikuti ibu bapa ke rumah rakan-rakan untuk melakukan ziarah, atau ngabang. Itu berlaku pada siang harinya untuk menambah akrab ikatan persahabatan.

Tiada isu rasis, atau kekhuatiran hidangan tidak halal antara kami.

Kerana dalam kalangan masyarakat Sarawak, terutama di Kuching, tempat penulis membesar, rasa hormat dan toleransi itu begitu tinggi.

Justeru kami tidak ada masalah tentang itu.

Memang rumah yang sama dikunjungi akan menghidangkan minuman keras kepada tetamu yang hadir, namun ia bukan paksaan kepada yang hadir.

Boleh sahaja menolak pelawaan nyadong dan memberikannya kepada mereka yang boleh meminumnya tanpa menimbulkan rasa guris mahupun kecil hati.

Tidak salah dan terlalu complicated dalam menjalani ziarah ini. Waima ada hidangan yang tidak halal disediakan, namun kebanyakan tuan rumah akan memberi pemakluman awal.

Justeru mereka turut menyediakan hidangan yang halal, lengkap menyatakan siapa yang memasaknya atau dibeli di mana.

Masyarakat bukan Islam di Sarawak lazimnya memahami akan sensitiviti dalam perkara halal haram.

Kerana itulah sebenarnya, amalan kunjung-mengunjung menjadi semarak, dan dari sinilah sebenarnya terjalin ikatan kemesraan dan akrab, biarpun dalam kalangan mereka berbeza agama dan kaum.

Penulis memiliki pengalaman cukup manis dalam perkara ini, apabila sempat menunaikan solat di dalam bilik salah sebuah rumah yang dikunjungi.

Bukankah ini menunjukkan keterbukaan dan toleransi? Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan mantan Ketua Menteri Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkongsi sendiri akan pengalaman indah dan unik; apabila disediakan sebuah bilik yang bersih untuk tidur dan bersolat di sebuah rumah panjang tempat beliau tumpang bermalam di pedalaman Sarawak.

Malah pinggan mangkuk yang baharu disediakan kepada beliau, manakala tukang masak Islam dari kawasan kejiranan diminta untuk bermasak, bagi menghapuskan rasa waswas

Justeru ia menggambarkan perayaan besar seperti Krismas, Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Gawai Dayak adalah sambutan bersama, dan disambut tanpa mengira siapa penganutnya. Malah ucap selamat, bertukar hadiah dan meraikan tetamu dibudayakan dengan cukup menarik tanpa prejudis.

Hanya sekarang wujudnya dalil, dan sebagainya yang “mengharamkan” budaya ini, yang dilakukan dengan niat yang baik dan bukan bersifat agama. Bagi penulis, tidak hilang nilai keislaman seseorang itu jika ia sekadar mengucap selamat dan menziarahi sambutan Krismas yang diraikan oleh rakan dan jiran.

Malah ada antaranya oleh ahli keluarga sendiri. Justeru tidak wajar untuk menghalang sesuatu yang cukup murni dan positif seperti ini — yang menjadikan Sarawak sebagai wilayah dan harmoni biarpun dihuni lebih 27 komuniti yang berbeza.

Menghormati dan meraikan kepelbagaian inilah yang menjadi pasak kepada kejayaan Sarawak pada hari ini, sehingga berjaya mewujudkan kestabilan yang luar biasa.

Dan ia membolehkan pimpinan yang sedia ada fokus untuk memakmurkan wilayah ini dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Dalam konteks ini, amat wajar kita terus mempertahan apa-apa yang kita miliki ini.

Kebelakangan ini, penulis perasan ada parti politik yang berusaha untuk ‘membakar’ keharmonian ini.

Malah tanpa segan silu ia membina naratif perkauman demi agenda politik.

Parti dan individu seperti ini ternyata naif tentang perjuangan sebenar dalam politik — untuk membangunkan wilayah dan rakyatnya.

Mereka hanya meletakkan nafsu politik semata-mata, dan meraikan pandangan Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

Lalu naratif kebencian terhadap kaum tertentu dilagukan agar rakyat yang tenang menjadi tidak keruan, penuh wasangka dan saling membenci.

Mereka percaya, hanya dengan cara tersebut mereka dapat menyusup masuk dan menawan pemikiran mereka yang hendak menjadi pengundi. Sebagai rakyat Sarawak, tolaklah individu yang durjana seperti ini.

Mereka inilah ‘batu api’ yang menjadi penghalang kepada kemajuan Sarawak.

Setahu penulis, kerajaan yang dikritik ketika ini adalah yang paling terbuka dan bertoleransi dari segi pola perkauman dan agama.

Carilah di mana-mana negeri pun yang memberi peluang yang hampir sama rata kepada rakyatnya?

Termasuk mewujudkan Unit Agama-agama Lain (Unifor) yang berperanan seperti Tabung Baitulmal, dengan biaya dan peruntukan yang tidak sedikit.

Kerana kejayaan inilah, maka model yang sama kini sedang dirancang di peringkat Persekutuan.

Lalu di mana kebenaran dongeng yang mengatakan Kerajaan Sarawak melakukan diskriminasi kaum?

Bahkan dalam kalangan pejawat awam negeri, semua kaum telah diberi peluang sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak dan timbalannya, berdasarkan merit dan kesesuaian.

Oleh yang demikian, sempena sambutan Krismas ini, hargailah perpaduan yang telah wujud, dan kemakmuran ekonomi yang kita nikmati.

Sokonglah kerajaan yang sedang merangka jalan menjadikan Sarawak sebagai gergasi ekonomi di rantau ini, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Persetankan, usah fikir akan naratif yang dimainkan oleh penghasut domestik mahupun di peringkat nasional — yang jelas berniat menghancurkan pencapaian Sarawak, yang terhasil daripada kebijaksanaan dan keberanian menuntut hak, dan membina pendapatan.

Kembali kepada Krismas, pada waktu kami masih lagi kanakkanak dan remaja, waktu inilah juga digunakan untuk menonton wayang mahupun menonton siaran istimewa di kaca televisyen.

Ini antara nikmat yang hilang apabila generasi hari ini lebih memilih telefon bimbit, sama ada untuk bermain permainan video, menonton filem mahupun berkomunikasi secara digital — lalu menghilangkan nilai bersemuka.

Amat wajar sebenarnya sikap antisosial ini ditangani agar sambutan penting seperti ini digunakan untuk membina kemesraan dan muafakat secara realiti.

Semoga Krismas dan apaapa jua perayaan pun, akan menjadikan nilai kebersamaan sebagai agenda utama kita, sebagai rakyat Sarawak.

Selamat menyambut Krismas. 

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU