ARTIKEL

Odong-odong di Singkawang.

Kembara Budaya, Tradisi dan Warisan di Singkawang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pengalaman berkeliling dengan odong-odong di Singkawang, Indonesia, menjadi antara detik paling sukar dilupakan sepanjang perjalanan ke kota ini.

Kenderaan yang rupanya seakan-akan beca ini sebenarnya hasil modifikasi, lazimnya beroda tiga atau empat, dihiasi lampu kelip-kelip berwarna-warni serta diiringi muzik yang menceriakan suasana.

Pada waktu malam, kami dibawa menyusuri kawasan pasar Singkawang dalam suasana yang hidup, namun tidak hiruk-pikuk.

Cahaya lampu odong-odong menerangi jalan, sementara penduduk tempatan yang sedang menikmati hidangan di kedai makan berhampiran melambai sambil tersenyum. Detik sederhana inilah yang mencipta kenangan manis dan membangkitkan rasa ingin kembali ke kota ini.

Sudah pasti, tidak lengkap rasanya lawatan ke Kalimantan Barat (Kalbar) sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Singkawang – sebuah kota yang terkenal dengan jolokan ‘Kota Amoi’ dan ‘Hong Kong van Borneo’ kerana warisan budaya masyarakat Tiong Hua yang begitu kuat dan terpelihara.

Jika memilih untuk meluangkan masa bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina kelak, Singkawang wajar disenaraikan sebagai antara destinasi pilihan. Mengapa? Kota ini turut digelar ‘Kota Seribu Kelenteng’ kerana kewujudan banyak tokong yang menjadi nadi kehidupan rohani masyarakat setempat.

Suasana pagi di sekitar kawasan Jalan Pasar Turi.

Sebelum tiba, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya. Namun, setelah mengenali Singkawang dengan lebih dekat, kota ini terasa lebih ‘santai’, dengan bangunan lama di kawasan pasar yang masih hidup dan berfungsi sehingga kini.

Ramai juga mencadangkan waktu terbaik untuk berkunjung ke Singkawang adalah ketika sambutan Cap Go Meh. Pada waktu ini, kota tersebut berubah menjadi pentas perayaan yang besar dan meriah, menampilkan perarakan Tatung, tarian naga serta kereta berhias yang menjadi daya tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara.

Lawatan kami ke Singkawang menerusi Program Familiarisation Trip (FamTrip) Pontianak–Singkawang bukan sahaja tertumpu di kawasan Pasar Hong Kong, sebaliknya dimulakan dengan kunjungan ke Pasar Tradisional Turi.

Pasar ini unik kerana menawarkan pelbagai hasil tempatan dengan harga berpatutan. Pada waktu pagi, suasananya sibuk menyambut pengunjung dengan jualan pakaian, hasil tani, ikan kering dan pelbagai barangan keperluan harian.

Perjalanan diteruskan dengan lawatan ke Batu Belimbing, sebuah tarikan pelancongan yang sering digelar misteri dari langit. Ia dinamakan Batu Belimbing kerana bentuknya menyerupai buah belimbing, dengan permukaan berlekuk dan sudut-sudut tajam.

Kawasan ini sesuai untuk bersantai bersama-sama keluarga kerana pengunjung bukan sahaja dapat merakam gambar berlatarbelakangkan panorama alam semula jadi, malah turut disediakan pelbagai aktiviti santai.

Batu Belimbing antara tarikan pelancongan di Singkawang.

Selesai meluangkan masa di Batu Belimbing, kami dibawa melawat Sui Kheu Thai Pak Kung Temple yang merupakan rumah ibadat Tiong Hua terbesar dan termegah di Singkawang. Lawatan ini sekali gus mengukuhkan lagi imej kota ini sebagai destinasi sesuai untuk percutian, khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Usai makan tengah hari di restoran tempatan, kami dibawa ke pekan Singkawang yang menampilkan deretan bangunan lama. Antara yang paling mencuri perhatian adalah sebuah warung kopi dengan hiasan antik, iaitu Warung Kopi Nikmat. Diusahakan sejak 1941 dan terletak di bangunan berusia lebih 100 tahun, sebelum Indonesia merdeka, warung ini kekal menjadi pilihan meskipun kafe hipster tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Kopi di sini disediakan menggunakan kaedah tradisional, hanya menggunakan air panas, namun cukup membangkitkan aroma. Belasan jenis kuih pula disimpan di dalam almari lama dan pembeli bebas memilih mengikut selera.

Trikartina ketika membancuh kopi di Warung Kopi Nikmat.

Trikartina atau mesra dipanggil Alang, 55, menantu kepada pemilik Warung Kopi Nikmat berkata, dia kini merupakan generasi ketiga yang menguruskan warung tersebut dan antara minuman paling digemari pengunjung ialah kopi, kopi susu dan teh tarik.

“Bangunan ini masih seperti asalnya, hanya dicat semula dan dibaiki struktur yang rosak. Inilah yang menjadikan warung kami istimewa dan menerima ramai pengunjung termasuk dari luar negara seperti Malaysia, Jepun, Korea, Australia dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui.

Pada petang yang sama, kami melawat Vihara Tri Dharma Bumi Raya, tokong tertua di Singkawang yang terletak tepat di tengah-tengah kota. Keunikan Singkawang jelas terserlah apabila sebuah masjid berdiri berhampiran kawasan tersebut, melambangkan keharmonian budaya dan agama masyarakat di sini.

Trikartina menunjukkan pelbagai jenis kuih-muih di dalam almari antik.

Tidak lengkap mengenali budaya Tiong Hua sekiranya tidak melawat Rumah Warisan Keluarga Tjhia. Rumah Marga Tjhia atau dikenali sebagai Thai Buk dalam dialek Hakka Singkawang yang bermaksud “rumah besar” dibina pada 1901 dengan keluasan kira-kira 5,000 meter persegi.

Berdasarkan dokumen sejarah yang dipamerkan, rumah ini merupakan peninggalan Chia Siu Xie, seorang perantau dari desa Jian Mei, Kabupaten Hai Cang, Fujian, Tiongkok, pada zaman kolonial Belanda. Pembangunannya melibatkan arkitek yang dibawa khas dari Tiongkok dan pada asalnya berfungsi sebagai rumah kediaman serta pejabat dagang Chia Hiap Seng.

Kini, rumah tersebut didiami oleh keturunan generasi keempat hingga ketujuh keluarga berkenaan. Struktur bangunan lama yang masih utuh membantu pengunjung memahami cara hidup masyarakat terdahulu, selain menjadi lokasi menarik untuk rakaman kenangan.

Selepas seharian berjalan-jalan, kami menikmati Choi Pan Marga Tjhia, makanan tradisi tempatan yang turut dikenali sebagai Chai Kue dan kini memiliki sijil halal. Antara inti yang sempat dirasai ialah rebung, kucai, sengkuang dan keladi.

Kawasan Rumah Warisan Keluarga Tjhia.

Kami turut meluangkan masa makan malam di Kampung Rawit Tepi Sawah bersama-sama Sekretaris Daerah Kota Singkawang, Dwi Putra Sumarna. Pelbagai hidangan lazat disajikan dalam suasana santai sambil kami berkenalan dengan wakil tempatan dan bertukar pandangan. Selepas menaiki odong-odong, malam tersebut diakhiri dengan kunjungan ke CW Coffee bagi merasai sendiri budaya lepak malam masyarakat setempat.

Hari kedua di Singkawang dimanfaatkan dengan membeli kraf tangan kayu di Borneo Wood. Sebelum kembali ke Pontianak dan seterusnya pulang ke Kuching, kami sempat melawat Pantai Samudra Indah, sambil menikmati mi segera dan ais krim sebelum meneruskan perjalanan.

Di Singkawang, kami menginap di Swiss-Belinn Singkawang yang terletak berhampiran Grand Mega Mall dan kemudahan bas. Saya pulang dengan satu kesimpulan mudah: Singkawang bukan kota yang memaksa pelawat untuk terpukau, sebaliknya sebuah kota yang mengajar kita menikmati perjalanan dengan lebih perlahan dan penuh makna.

Selepas tiba di Pontianak, kami turut dibawa melawat Masjid Raya Mujahidin sebelum menikmati Es Krem Angi, ais krim premium buatan sendiri sejak 1950. Menariknya, ais krim di sini disajikan di dalam kelapa muda dengan pelbagai perisa seperti ketan hitam, durian, cempedak dan banyak lagi.

Es Krem Angi di Pontianak yang disajikan di dalam kelapa muda.

Lawatan kali ini turut memberi ruang untuk kami meluangkan masa di Chemomile Authentic Spa, yang menawarkan pakej pada harga istimewa, sebelum menutup perjalanan dengan makan malam bersama-sama Konsulat Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim, di Transera Hotel Pontianak.

Kami pulang bukan sekadar membawa gambar dan cenderamata, tetapi pengalaman tentang kota yang hidup dengan budayanya, menjaga warisannya dan menyambut tetamu dengan hati yang terbuka. Mungkin, itulah sebab sebenar mengapa bumi Kalbar bukan sekadar destinasi — ia adalah sebuah kenangan yang sentiasa mengundang untuk kembali.

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU