KUALA LUMPUR: Filemon Anyie dan Irfan Zakaria menampilkan watak berbeza tetapi sama penting dalam membantu Kuching City FC (KCFC) mara ke suku akhir Piala FA 2026-2027 selepas membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 5-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16, baru-baru ini.
Filemon menjadi pencetus kepada gol pembukaan KCFC apabila hantaran lintangnya disudahkan Dylan Wenzel-Halls untuk memberikan The Cats kelebihan pada minit ke-10.

Pemain pertahanan kelahiran Long Atip, Miri itu berkata, kemenangan berkenaan hadir hasil kerja keras pasukan yang enggan mengulangi keputusan tanpa jaringan pada aksi pertama di Kota Bharu.
“Saya sangat bangga membantu pasukan Kuching City FC mengalahkan Kelantan Red Warrior FC dalam perlawanan timbal balik.

“Dalam perlawanan pertama, kami berusaha mencari gol tetapi tidak dapat.
Namun, dalam perlawanan ini kami bekerja keras untuk mencari gol,” katanya selepas perlawanan.

Filemon, 29, yang menyarung jersi nombor 27, merupakan pemain pertahanan serba boleh yang mampu beraksi sebagai bek kiri, bek kanan atau bek tengah.
Beliau memulakan karier profesional dalam skuad pembangunan Sarawak Bawah 19 Tahun pada 2017 sebelum beraksi bersama-sama PKNP FC, Petaling Jaya City FC dan Negeri Sembilan FC.

Filemon kembali ke Sarawak pada 2024 untuk menyertai KCFC dan kini terus menjadi antara pilihan penting di bahagian pertahanan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Ditanya penggunaan bahasa Sarawak selepas lama berada di luar negeri itu, Filemon berseloroh bahawa beliau masih belum melupakannya.

“Bolehlah sikit-sikit. ‘kamek kelakar’ saya bercakap bahasa Sarawak.
Boleh lagi, saya belum lupa lagi,” katanya.
Sementara itu, Irfan Zakaria menyifatkan kemaraan ke suku akhir sebagai pencapaian yang menggembirakan, namun mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki KCFC.
Irfan, 31, yang baru menyertai KCFC musim ini, mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan termasuk bersama-sama Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Melaka FC.
Pemain setinggi 1.83 meter itu mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan, selain pernah menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia Bawah 23 Tahun yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2017.
Ditanya mengenai rakan yang paling rapat dalam skuad baharunya, Irfan berkata beliau selesa menganggap semua rakan sepasukan sama penting.
“Sebenarnya ramai lagi, sebab kebanyakan rakan pasukan pernah bermain bersama-sama skuad Harimau Malaya Bawah 23 Tahun dahulu,” katanya.
Kemenangan 5-1 itu menyaksikan KCFC mara ke suku akhir dengan agregat sama selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama di Kota Bharu, minggu lalu.
KCFC seterusnya akan berdepan Kelantan City FC pada peringkat suku akhir Piala FA 2026-2027.





