KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara komited meneroka peluang kerjasama dengan akhbar tempatan seperti Suara Sarawak bagi menyemarakkan dan merancakkan lagi agenda perpaduan negara.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. Shatesh Kumar Sangar berkata kerjasama sedemikian penting untuk memberikan pendedahan yang baik kepada rakyat khususnya di Sarawak mengenai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat kementerian.
“Kita hendak mendapatkan kerjasama dari segi liputan media tempatan termasuk Suara Sarawak, supaya pendedahan mengenai aktiviti yang diadakan di peringkat negeri dapat disiarkan kepada umum.
“Antara kerjasama yang boleh dilakukan adalah mengenai program utama kementerian yang akan kita anjurkan pada 2024 iaitu Sambutan Minggu Perpaduan Negara, Kebangsaan dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Suara Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, kementerian sebelum ini juga pernah mengadakan kerjasama dengan Suara Sarawak untuk kupasan mengenai Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan.
“Tidak dinafikan akhbar ini banyak membantu menyampaikan maklumat dan aspirasi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang juga berasal dari negeri ini,” ujarnya.
Justeru, kunjungan hormat yang berlangsung kira-kira satu jam itu juga bertujuan untuk saling bertukar pandangan, berkongsi maklumat dan mengukuhkan hubungan antara Kementerian Perpaduan Negara dengan Suara Sarawak termasuk mengenal pasti potensi kerjasama antara kedua-dua pihak bagi tahun hadapan.
Sementara, selain Shatesh delegasi kementerian tersebut juga turut disertai Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Perpaduan Negara Mutia Azura Mohamed; Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Perpaduan Negara Asshari Mohd Juhaidi; serta Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Taska, Jabatan Perpaduan Negeri Sarawak Suzana Busalam.
Kehadiran para pegawai kementerian berkenaan, disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune Datuk Dr Jeniri Amir bersama-sama dengan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune Mohamad Sardon Zainal; Eksekutif Editor New Sarawak Tribune Harry Henry Julin; serta Pengurus Kanan Bahagian Perniagaan Korporat Dorge Rajah.

Dr. Shatesh Kumar Sangar (Foto oleh MOHD ALIF NONI)

RAKAMAN KENANGAN… Jeniri (empat kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama delegasi Kementerian Perpaduan Negara serta kakitangan Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune. (Foto oleh MOHD ALIF NONI)