Kementerian Pertahanan nafi gambar tular penemuan anggota tentera darat di Pulau Perak

KUCHING: Kementerian Pertahanan menafikan gambar tular di media sosial hari ini yang mendakwa kedua-kedua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari
Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang hilang ketika bertugas dalam Operasi PEJARAK (Op PEJARAK) di Pulau Perak, telah ditemui petang semalam.

Menerusi satu kenyataan, kementerian menjelaskan gambar bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditularkan itu sebenarnya adalah bot milik Kapal Layar
Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA yang telah menemukan mayat seorang wanita ketika sedang belayar melalui utara Perairan Selat Melaka pada 23 Julai lalu.

Ia menambah mayat berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Tanjung Tokong dan dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

“Kementerian Pertahanan ingin menjelaskan bahawa operasi pencarian kedua-dua anggota yang disedari hilang sejak 19 Julai lalu masih dilaksanakan oleh pihak
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kapal Diraja (KD) LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN telah diaturgerak dalam operasi pencarian yang bermula pada 20 Julai lalu tertumpu di kawasan pulau dan perairan persekitaran,” katanya.

Justeru, semua pihak diharap berhenti dan tidak menyebarkan sebarang laporan atau maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menghormati ahli
keluarga mangsa terlibat.

Suara Sarawak