SARIKEI: Kempen Pembelian Minyak Masak Terpakai anjuran syarikat Timuran Kembangan Sdn. Bhd. di tempat letak kereta Tamu Sentral, Sarikei semalam menerima sambutan yang luar jangkaan.
Ratusan penduduk dari pelbagai kaum membanjiri kawasan tersebut dengan membawa minyak masak terpakai masing-masing.
Pengarah Urusan, Johnny Ting Su King, mengakui teruja dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat terhadap program ini.
“Kita tidak menjangka sambutan begitu hebat sekali terhadap program ini. Walaupun program ini berlangsung dari pukul 2:30 hingga 5:00 petang, sokongan daripada masyarakat setempat sangat menggalakkan,” ujar Johnny kepada Suara Sarawak.
Apa yang menarik, setiap minyak masak terpakai yang dihantar akan ditukar dengan wang tunai iaitu RM2.90 bagi setiap kilogram.
Menurut Johnny, ini adalah kali pertama kempen seumpama ini diadakan di Bahagian Sarikei, selepas sebelum ini diadakan di Kuching dan Sibu.
Johnny menambah, program seperti ini akan diteruskan di kawasan lain pada masa akan datang.
“Pelaksanaan kempen seumpama itu amat penting kerana secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab. Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar secara mampan,” katanya.
Kempen ini diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk memacu perubahan positif terhadap alam sekitar agar lebih baik dan dinamik.




