KUCHING: Pengorbanan berjauhan dengan Elvis Priestley sejak berusia 12 tahun nyata berbaloi buat ibu bapa atlet terjun Sarawak itu apabila anak mereka berjaya menggondol dua emas dan satu perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), kali ini.
Clement Merom, 43, berkata meskipun keberatan, namun dia dan isteri sanggup melepaskan Elvis untuk bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) demi mengejar masa depan yang lebih baik.
Pesara tentera itu berkata, sejak Elvis berada di Kuala Lumpur, mereka jarang berjumpa disebabkan dia dan isterinya tinggal di Kuching.
“Satu tahun hanya sekali dia balik ke Sarawak, itu pun dua tiga hari dia sudah terbang semula ke Kuala Lumpur.
“Memang tak cukup masa untuk bersama-sama dengan Elvis, nak bawa dia balik kampung…tapi sebagai ibu bapa kami tahan perasaan ini kerana ini masa depan dan impian dia,” ujarnya.
Bercerita tentang zaman kanak-kanak Elvis, Clement mengakui bahawa anaknya seorang yang pendiam, namun sangat aktif terutama sekali apabila melihat sungai mahupun kolam.
“Elvis mula menunjukkan minat terhadap sukan terjun sejak kecil, selepas mengikuti saya yang menjalani latihan renang untuk tentera,” katanya lagi.
Beliau pernah berasa sedih melihat anaknya berdepan dengan latihan yang sukar dan ketegasan jurulatih, namun beliau faham bahawa itu semua demi kebaikan anaknya.
Ketika ditanya mengenai hasrat Elvis ke peringkat Olimpik, beliau berkata dirinya dan keluarga sentiasa menyokong jika Elvis berjaya mencapai impiannya hingga ke peringkat Olimpik.



