BINTULU: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menegaskan bahawa pengenalpastian bakat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan golongan ini secara holistik.
Beliau berkata bukan hanya aspek pendidikan yang diberi perhatian, tetapi juga keupayaan individu dalam pelbagai bidang seperti sukan, seni dan akademik.
Menurut beliau, pengenalpastian bakat seperti dalam bidang olahraga, acara padang, atau kemahiran lain adalah penting untuk mengenal pasti keistimewaan yang dimiliki oleh anak-anak OKU.

Fatimah memuji peranan guru dan penganjuran kejohanan sukan dalam mengenal pasti bakat tersembunyi yang dimiliki golongan terbabit.
“Melalui usaha ini, kita telah berjaya mengenal pasti 616 bakat dalam pelbagai bidang. Ada yang hebat dalam acara padang, ada yang mahir dalam seni lukis, dan ada yang mencapai kecemerlangan akademik sehingga layak ke universiti.”
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Kejohanan Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak 2024 di Stadium Bintulu, semalam.
Tambah beliau, pengenalpastian bakat bukan sahaja membantu golongan OKU mencapai potensi maksimum, tetapi juga memberi mereka peluang untuk menunjukkan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya.
“Matlamat kita adalah untuk memperkasakan anak-anak ini dengan memberi mereka ruang dan peluang yang mencukupi. Kita mahu masyarakat melihat keupayaan mereka, bukan sekadar ketidakupayaan,” jelasnya lagi.
Fatimah, dalam pada itu menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap bakat yang dimiliki oleh golongan OKU dan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan mereka.
“Kita mahu dunia melihat bahawa dengan peluang yang betul, anak-anak ini mampu bersaing dan menunjukkan kehebatan yang luar biasa, mengatasi segala batasan,” katanya lagi.
Usaha kerajaan dalam memastikan golongan OKU diberi peluang yang saksama bukan sahaja akan memajukan individu itu sendiri, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhan, tambahnya.
Pada majlis tersebut, Fatimah turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar(MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Daerah Bintulu bagi penganjuran Kejohanan Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak 2024.
Caption:
1: Fatimah menyampaikan hadiah kepada wakil kontinjen Miri yang memenangi Anugerah Bermasalah Pembelajaran dalam Kejohanan Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak 2024 di Stadium Bintulu, semalam.
2: Fatimah menyerahkan geran MRP kepda Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili mewakili PSKPP Daerah Bintulu.



