Kenali pemburu kanak-kanak dalam talian

KUCHING: Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) di bawah e-Keselamatan dan Saluran Privasi (ESPC) bekerjasama dengan Cyber8Lab and e-SafeKids di Australia untuk memperkenalkan Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian (COSP).

Pengarah Urusannya Datuk Abdul Karim Abdullah berkata, masa kini kanak-kanak membesar dengan pendedahan yang mendalam terhadap dunia digital.

“Apa yang mereka lakukan ketika melayari Internet dan dengan siapa mereka berinteraksi dalam talian sangat mempengaruhi identiti, kesejahteraan dan perkembangan mereka.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian.

Tahun lalu, syarikat teknologi melaporkan lebih daripada 45 juta gambar dan video dalam talian mengenai kanak-kanak yang didera secara seksual.

“Ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada tahun sebelumnya dan mereka terdedah kepada satu atau lebih risiko siber.

“Ia dianggap sebagai pandemik siber termasuk buli siber, gangguan permainan, risiko reputasi, kandungan dan hubungan berisiko serta ancaman siber,” katanya baru-baru ini.

Beliau menambah, dengan penubuhan platform e-keselamatan dan saluran privasi dalam talian, ia akan mencipta kerjasama strategik termasuk dengan agensi kerajaan tempatan dan luar negara.

“Kerjasama ini akan memberikan pendidikan dalam talian yang berkesan mengenai penyelesaian perlindungan dan pencegahan jenayah siber.

Ia juga mencegah penyalahgunaan persekitaran siber ke arah mengeksploitasi kanak-kanak dan pengguna Internet yang kurang arif di seluruh dunia,” jelasnya.

Platform itu merupakan satu langkah pertama membantu negara supaya memahami status keselamatan dalam talian terhadap anak mereka.

“Ia juga memberi penekanan terhadap aspek literasi digital, persediaan dan keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi muda dalam merealisasikan aspirasi digital negara ini,”katanya.

Sementara itu, dalam sesi webinar pertama Penyedia Pendidikan Khas Keselamatan Badan, Keselamatan Siber dan Pornografi Australia Barat Kayelene Kerr menyentuh mengenai pentingnya penekanan teknologi memberi kesan kepada tubuh badan kanak-kanak, otak dan kebajikan mereka.

Ketika membincangkan topik bertajuk kesihatan digital, Kaylene memberi cadangan bagaimana perbualan membantu ibu bapa dalam membimbing anak menetapkan had penggunaan masa skrin dan mengurangkan kesan kepada tidur anak-anak.

“Pembelajaran dalam talian menjadi satu keperluan. Ia memaksa sekolah dan keluarga menyesuaikan diri dengan aktiviti kurikulum di sekolah disampaikan secara dalam talian di rumah.

“Ia mempunyai banyak faedah kepada anak-anak dan pada masa yang sama, ia turut memberikan risiko.

“Jika tidak dikawal dengan baik, ia akan memberi kesan mental dan fizikal serta menjadikan anak-anak terdedah kepada jenayah siber,” jelas Kaylene.

Dalam perkembangan berkaitan, sesi kedua sidang keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam talian secara maya bertajuk dandanan dalam talian diadakan pada 15 Disember ini bersama-sama moderator Pensyarah Kanan Kol (B) Datuk Dr Husin Jazri yang juga Naib Presiden Kanan Cybersecurity SDGB.

Mereka yang berminat menyertai sesi secara maya itu boleh mendaftar di laman sesawang https://www.espc2go. com/resources/family-resources/

Sesi tersebut akan memberi penyediaan kepada ibu bapa mengenai pemangsa dalam talian yang menyasarkan anak mereka.

Sesi itu akan membimbing ibu bapa, penjaga dan guru bagaimana untuk membantu kanak-kanak bergaul secara selamat dan terlindung menggunakan Internet.

Ia juga mendedahkan bagaimana untuk mengenal pasti tingkah laku pemangsa apabila mereka berhubung dengan kanak-kanak dalam talian.