ARTIKEL

Kenangan di Stabak Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBELUM bandar Mukah benar-benar sibuk dengan urusan harian, Stabak Mukah sudah terlebih dahulu dipenuhi kehidupan.

Seawal selepas subuh, Gerai Kopi Market Dana atau lebih dikenali sebagai Stabak Mukah mula menerima pelanggan yang datang untuk bersarapan, bertemu kenalan dan mengisi waktu pagi sebelum meneruskan rutin masingmasing.

Haruman kopi O peng yang dibancuh dari dalam gerai menjadi antara perkara pertama yang menyambut kedatangan pelanggan.

Aromanya memenuhi ruang dan mencipta suasana yang cukup dekat dengan mereka yang sudah lama menjadikan gerai itu sebagai persinggahan pagi.

Di atas meja pula, kuih-muih tersusun rapi dengan pelbagai pilihan.

Hidangan tersebut bukan sekadar pelengkap sarapan, malah memberikan gambaran kemesraan seperti berada di rumah sendiri apabila tetamu disambut dengan makanan tanpa perlu banyak bertanya.

Begitulah antara tarikan Stabak Mukah yang menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah gerai makan.

Tidak mengambil masa lama untuk ruang gerai dipenuhi pelanggan.

Ada yang datang bersama keluarga, ada yang singgah bersendirian dan ada juga yang menjadikan tempat itu sebagai lokasi pertemuan dengan rakan.

Suasana pagi di situ cukup tersendiri.

Bunyi perbualan berselang-seli dengan dentingan awan dan pinggan, sementara sapaan antara pelanggan yang saling mengenali menambahkan kemeriahan ruang gerai.

Ada kalanya, pelanggan yang pada awalnya hanya bercadang untuk menikmati secawan kopi akhirnya duduk lebih lama kerana terserempak dengan kenalan.

Pertemuan yang tidak dirancang itu kemudian membuka ruang kepada perbualan yang mungkin sudah lama tidak berlangsung.

Di meja makan, cerita tentang keluarga, pekerjaan dan perkembangan semasa menjadi antara topik yang mengisi waktu.

Tidak semua perbualan menyentuh perkara besar, tetapi suasana santai seperti itulah yang memberikan warna kepada kehidupan masyarakat setempat.

Dalam konteks itu, Stabak turut memainkan peranan sebagai ruang sosial yang mempertemukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

perlu mengatur janji temu atau merancang pertemuan, orang ramai mempunyai tempat untuk bertegur sapa dan bertukar cerita.

Keistimewaan tersebut mungkin tidak begitu ketara kepada pengunjung yang datang sekali-sekala.

Namun, bagi mereka yang sudah lama menjadikan Stabak sebagai destinasi sarapan, setiap sudutnya mungkin menyimpan kenangan tersendiri.

Ada yang pernah datang bersama-sama keluarga ketika masih kecil, kemudian kembali sebagai orang dewasa.

Ada juga yang menjadikan gerai itu sebagai tempat bertemu rakan sekerja sebelum memulakan tugas atau bersua dengan kenalan lama yang jarang ditemui.

Perubahan kehidupan mungkin membawa seseorang ke tempat dan rutin yang berbeza, namun kenangan tentang suasana yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian lazimnya kekal dalam ingatan.

Malah, perkara yang kelihatan biasa seperti memilih kuih kegemaran, memesan kopi atau mencari meja kosong boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman yang dirindui apabila seseorang sudah lama tidak berkunjung.

Itulah nilai sentimental yang tidak dapat diukur berdasarkan harga makanan mahupun jumlah pelanggan yang datang setiap hari.

Bagi saya, Stabak Mukah turut menyimpan satu kenangan bersama Allahyarham Abg Achil, bekas wartawan Utusan Borneo yang pernah menjadi antara insan penting dalam perjalanan saya dalam dunia kewartawanan di Mukah.

Ada sesuatu yang membuatkan Stabak menjadi pilihan untuk pertemuan ketika itu.

Suasananya yang santai, tidak terlalu formal dan jauh daripada kesibukan ruang kerja menjadikan tempat itu sesuai untuk duduk berbual sambil menikmati minuman.

Pertemuan seawal jam 8.00 pagi ketika itu mungkin kelihatan biasa kerana tiada suasana istimewa yang perlu diraikan, hanya kesempatan untuk duduk semeja, bertukar cerita dan menikmati waktu bersama.

Namun, seperti kebanyakan kenangan yang hanya disedari nilainya selepas seseorang tiada, pertemuan itu kini membawa makna yang jauh berbeza.

Selepas pertemuan tersebut, kami beberapa kali merancang untuk kembali bertemu dan menikmati minuman bersama.

Niat itu sentiasa ada, tetapi tuntutan kerja, jadual yang tidak menentu dan kesibukan masingmasing menyebabkan hasrat tersebut berkali-kali tertangguh.

Ada sahaja masa yang belum sesuai dan ada sahaja urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kami menyangka masih ada kesempatan lain untuk duduk bersama, menyambung perbualan dan bertanya khabar seperti sebelumnya.

Namun, akhirnya kami hanya merancang, Allah yang menentukan.

Pemergian Allahyarham menjadikan pertemuan yang pernah dianggap biasa itu sebagai antara kenangan yang sukar dilupakan.

Yang dahulu kelihatan seperti satu lagi persinggahan di gerai kopi kini menjadi ingatan tentang seseorang yang pernah berkongsi ruang dan waktu di situ.

Barangkali itulah antara perkara yang menjadikan sesebuah tempat begitu dekat di hati saya.

Bukan sematamata kerana makanan atau suasananya, tetapi kerana manusia yang pernah hadir dan kenangan yang ditinggalkan.

Sehubungan itu, Stabak Mukah turut memperlihatkan bahawa budaya menikmati sarapan di luar rumah mempunyai kedudukan tersendiri dalam kehidupan masyarakat Mukah.

Aktiviti itu bukan sematamata untuk mengisi perut, malah turut memberikan peluang kepada orang ramai untuk meluangkan masa bersama sebelum masingmasing kembali kepada tanggungjawab harian.

Dalam kehidupan yang semakin pantas, ruang seperti ini mempunyai makna tersendiri.

Ketika kebanyakan urusan perlu diselesaikan mengikut masa, suasana di gerai sarapan memberikan peluang kepada seseorang untuk memperlahankan langkah walaupun hanya seketika.

Secawan kopi boleh dinikmati tanpa tergesa-gesa, sementara beberapa keping kuih menjadi teman kepada perbualan yang berlangsung.

Menariknya, kemesraan yang tercipta tidak memerlukan suasana mewah atau layanan yang berlebihan.

Kehadiran pelanggan yang saling mengenali, sapaan ringkas serta keselesaan menikmati hidangan sudah ukup untuk menjadikan ruang itu terasa mesra.

Dalam pada itu, Stabak Mukah menjadi antara gambaran bagaimana ruang yang sederhana mampu mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan sebuah bandar.

Kehadirannya bukan sekadar memenuhi keperluan pelanggan untuk bersarapan, malah turut menyediakan ruang untuk masyarakat terus berhubung melalui kebiasaan yang dilakukan setiap pagi.

Mungkin suatu hari nanti, apabila seseorang mengenang kembali zaman ketika pagi di Mukah diisi dengan secawan kopi dan sarapan bersamasama kenalan, Stabak Mukah akan menjadi antara tempat yang muncul dalam ingatan.

Bukan kerana kemewahan atau sesuatu yang luar biasa, tetapi kerana terlalu banyak pertemuan dan cerita pernah bermula di situ.

Bagi saya, Stabak Mukah bukan lagi sekadar sebuah gerai untuk menikmati kopi O peng atau sarapan pagi.

Di sebalik suasananya yang santai, tersimpan satu pertemuan yang tidak mungkin dapat diulang.

Mungkin secawan kopi yang pernah dinikmati bersama tidak membawa makna yang luar biasa ketika itu.

Namun, apabila kesempatan untuk mengulanginya tidak lagi ada, perkara sederhana itulah yang paling dirindui.

Kita sering menyangka masih ada hari esok untuk bertemu, masih ada waktu untuk duduk berbual dan masih ada kesempatan untuk menunaikan janji yang tertangguh.

Namun, tidak semua perancangan menjadi kenyataan.

Di Stabak Mukah, antara haruman kopi O peng dan suasana pagi yang terus berlangsung seperti biasa, ada satu kenangan yang akan sentiasa saya bawa bersama.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha