KUCHING: Sebuah kenderaan mewah disita selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, kenderaan itu ditahan dalam Ops Luxury yang dijalankan di Jalan Kuching City Mall, di sini, semalam.
“Sehubungan itu, tindakan penyitaan telah diambil terhadap kenderaan berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, JPJ Sarawak mengingatkan semua pemilik dan pengguna kenderaan supaya sentiasa memastikan LKM serta perlindungan insurans kenderaan masih sah sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.
“JPJ Sarawak akan terus melaksanakan rondaan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang sentiasa dipertingkatkan serta keselamatan semua pengguna jalan raya terus diberi keutamaan,” tegasnya.



