KUCHING: Pertandingan Kenyalang Bersaok menonjolkan warisan tarian nopeng Melayu Sarawak yang menjadi platform penting dalam memupuk minat generasi muda terhadap warisan bangsa.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Awang Ikman Awang Sepian berkata pertandingan tersebut berperanan sebagai jambatan budaya antara Sarawak dan negara jiran iaitu Brunei Darussalam, selain menzahirkan kekayaan tradisi masyarakat Melayu Borneo.

“Tradisi kesenian ini bukan sekadar tarian rakyat, malah ia mencerminkan identiti, kehalusan seni dan kekayaan budaya kita.
“Dengan adanya pertandingan seperti ini, warisan seni bukan sahaja dapat dipelihara, tetapi turut diperkenalkan kepada generasi muda agar terus hidup dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak serta MSS pada Majlis Penutupan Pertandingan Kenyalang Bersaok di sini, malam tadi.
Tambah beliau, pertandingan seperti ini wajar dijadikan acara tahunan dalam memperkasakan tarian nopeng Melayu, khususnya dalam kalangan belia.
Sementara itu, Presiden Kelab Prodiji Kenyalang Kuching, Muhammad Nur Fawwiz Bolkiah berkata keunikan pertandingan ini terletak pada penyertaan golongan belia yang menjadi pewaris dan pelanjut seni tradisi berkenaan.
“Visi besar kami adalah menjadikan Pertandingan Kenyalang Bersaok sebagai acara tahunan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga berpotensi dikembangkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Melalui platform sebegini, belia bukan sahaja menonton, malah dapat mempelajari, menghayati dan menghidupkan kembali seni tradisi kita,” ujarnya.
Menjelas lanjut, beliau turut memuji semua peserta yang disifatkan berjaya menghidupkan roh tarian nopeng di pentas pertandingan.
“Generasi belia perlu sedar bahawa mereka adalah pewaris seni budaya bangsa.
“Jangan sesekali malu mendalami seni tradisi kita kerana di situlah terletaknya nilai jati diri, akar budaya dan identiti kita sebagai anak Sarawak,” jelasnya.


