Kepala manusia di tebing sungai

KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu kepala manusia ditemui di tebing Sungai Batang Lupar namun identiti mangsa belum diketahui.

Kepala manusia tersebut dihantar kepada pakar patologi kata, saksi pendakwaan, Inspektor Wan Yunus Wan Morni. Terdahulu, Wan Yunus, pembantu ketua penyiasat polis memberi keterangan dalam mahkamah tinggi di hadapan hakim Azahari Kamal Ramli.

Ketika di tempat kejadian, pasukan penyiasat agak keliru untuk memastikan sama ada kepala berkenaan ialah kepala manusia. Sarjan Arifin Sabang kemudiannya dikerahkan pegawai penyiasat ASP Ang Tuan Peck untuk membuat pemeriksaan terperinci di tepi sungai Batang Lupar bagi memastikan kepala berkenaan kepunyaan manusia atau tidak. Setelah pemeriksaan dibuat ia ialah kepala manusia.

Setelah itu, saksi pendakwaan menerima arahan ASP Ang supaya membuat lakaran kawasan kepala itu ditemui dan kepala berkenaan pun diangkat dan dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sri Aman untuk pemeriksaan lanjut.

Saksi kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa tiada benda lain seperti senjata dan bahagian lain anggota badan ditemui di kawasan berkenaan setelah pemerhatian lengkap dibuat.

Unit selaman dari bahagian forensik IPD juga gagal mengesan barangan berkenaan. Ketika unit selaman melakukan penyelaman di kawasan berkenaan, tertuduh iaitu suami si mati Wong Zing Haw sudah berada dalam tahanan reman di IPD Sri Aman. Wong, 42, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat membunuh isterinya, warga China Yang Xi, 31, dan jika sabit kesalahan akan menerima hukuman mati mandatori.

Kes bunuh isteri dengan hanya bahagian kepala si mati ditemui membabitkan seorang ahli farmasi swasta berpengalaman disambung perbicaraan hari kedua bermula semalam di  Mahkamah Tinggi di sini. Tertuduh disyaki terbabit membunuh isterinya di sebuah rumah di Sri Aman dan telah memotong bahagian badan wanita itu sebelum membuang keratan badan mangsa ke dalam sungai dipenuhi buaya.

Manakala kepala mangsa dibuang berasingan dan kepalanya dijumpai terdampar di tebing Sungai Batang Lupar, Jalan Skait Lama di sini pada 3 Mac 2018. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 Februari 2018, kira-kira 9.30 pagi dan 3 Mac 2018 pada 4.30 petang.

Sementara itu, seorang pembantu kedai peralatan di Sri Ama, saksi ke-29 memberitahu mahkamah bahawa tertuduh membelanjakan antara RM700 ke RM800 untuk membeli peralatan di kedai peralatan majikannya. Antara barangan baharu yang dibeli ialah gergaji, alat pemotong kayu dan sebilah pisau, tag harga masih melekat pada barangan berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid sementara tertuduh diwakili peguam Jubilant Austinway

Suara Sarawak