ARTIKEL

Datuk Aaron Ago Dagang

Kepelbagaian budaya kekuatan identiti Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara pada masa ini tidak mempunyai sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.

Bagaimanapun, menurut Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, kementerian mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia.

Ia sekali gus, tegasnya, meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan, dan warisan.

“Segala pelaksanaan program dan inisiatif adalah berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara, iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali, di Dewan Rakyat hari ini.

Antara lain, katanya, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati, dan bertanggungjawab, di samping melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Menurut Aaron lagi, konsep Negara Bangsa dengan tema “Harmoni dalam Kepelbagaian” diangkat oleh kementeriannya sebagai fokus utama tahun ini.

Hala tuju tahun ini direncanakan melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama, iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara, dan Komuniti Sosiobudaya.

“Inisiatif Harmoni MADANI diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya, dan adat resam, sekaligus memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian.

“Antara program yang akan dilaksanakan di bawah inisiatif ini termasuk sambutan Keharmonian Sedunia, sambutan Hari Toleransi Sedunia, dialog harmoni, perarakan harmoni, Sounds of Harmony, Unity on Wheels, iklan perayaan, dokumentari harmoni, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan Peringkat Kementerian, dan Projek Sosial Kolaboratif: Mediasi Komuniti untuk Komuniti,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian mempunyai masyarakat yang menganut pelbagai agama dan kepercayaan.

“Keunikan ini, sekiranya dijaga dengan betul, boleh menjadi kekuatan yang membentuk identiti negara Malaysia.

“Sehubungan itu, ‘faham, hormat, dan terima’ adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat bagi memastikan negara terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama dan budaya boleh digabungkan untuk mencipta satu negara yang benar-benar harmoni,” katanya.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU