KUCHING: Kepelbagaian kaum, agama dan latar belakang dalam Perkhidmatan Awam Sarawak menjadi kekuatan utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata sambutan Hari Gawai Dayak memberi peluang kepada penjawat awam untuk terus menghargai nilai perpaduan dan kebersamaan yang menjadi asas kepada kejayaan perkhidmatan awam negeri.
Beliau berkata Perkhidmatan Awam Sarawak dianggotai warga daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan negeri.
“Justeru, sambutan Hari Gawai Dayak ini menjadi wadah penting untuk kita menghayati bahawa tunjang kepada kekuatan perkhidmatan awam terletak pada semangat kesatuan, keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026.
Abu Bakar menambah, perpaduan yang wujud dalam Perkhidmatan Awam Sarawak telah membentuk sebuah institusi yang kukuh, yang mampu bergerak sebagai satu pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, beliau berkata tema sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini, ‘Segulai Sejalai Nuju Pemansang’, amat relevan dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks, khususnya dalam era teknologi digital yang berkembang pesat.
Keharmonian dan perpaduan yang dinikmati rakyat Sarawak perlu terus dipelihara bagi memastikan negeri ini kekal aman, stabil dan makmur.



