KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar melalui pelaksanaan projek pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata sebanyak RM600,000 diperuntukkan untuk Komuniti Engkari bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan memperkasa masyarakat setempat.
“Peruntukan ini meliputi RM400,000 bagi pembinaan Rumah Ibadat Kristian Anglican, RM15,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rantau Kemayau Manis, RM10,000 kepada Biro Gerempung Indu Rantau Kemayau Manis, selain masing-masing RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 kepada JKKK Nanga Sepaya dan JKKK Nanga Stamang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Rumah Ngindang, Rantau Kemayau Manis, Ulu Engkari, Lubok Antu, semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Wakil Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial KPWK Mohd Shahrulnizam Jamaluddin serta Penghulu Peggie Wow.
Dalam pada itu, Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut menegaskan bahawa setiap cadangan pembangunan di peringkat komuniti perlu disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Kawasan sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek dibuat secara terancang, tersusun dan memenuhi keutamaan setempat.
Selain pembangunan fizikal, katanya, terdapat perancangan untuk memperkenalkan industri baharu di kawasan Engkari sebagai pelengkap kepada sektor pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk ketika ini.
“Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan aktiviti keusahawanan serta mempelbagaikan sumber pendapatan masyarakat luar bandar agar tidak hanya bergantung kepada sektor pertanian semata-mata,” ujarnya.






