Keperluan penganut agama lain di Sarawak terbela melalui UNIFOR

BINTULU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) menerusi Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) sentiasa memastikan keperluan semua penganut agama lain di negeri ini terbela.

Ketua Politik Parti Demokratik Progresif(PDP) bagi kawasan P. 217 Bintulu, Ukar Kelayang berkata, peruntukan yang disalurkan UNIFOR untuk pembinaan atau naik taraf sesebuah pusat keagamaan menunjukkan kerajaan negeri mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata demikian semasa menyerahkan Cek UNIFOR berjumlah RM150,000 kepada Gereja St. George Sebauh, di sini.

UNIFOR ditubuhkan pada 27 April 2017 yang merupakan unit baharu di Jabatan Ketua Menteri di bawah portfolio Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas diketuai oleh Datu Dr Ngenang Anak Jangu sebagai pengarah.

Penubuhan UNIFOR sebagai sebuah agensi kerajaan negeri merupakan cetusan idea mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama selain menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak.

UNIFOR akan menjadi landasan bagi permohonan untuk dana dan tanah untuk pembinaan gereja-gereja atau kuil-kuil baru atau pembaikan.

Ukar menyampaikan cek peruntukan UNIFOR kepada Jawatankuasa Gereja St. George Sebauh.

Suara Sarawak