KUALA LUMPUR: Kepolisan komuniti atau community policing merupakan pendekatan penting dalam membantu menangani isu pemilikan dan penggunaan bahan terlarang di negara ini, termasuk kandungan pornografi yang melibatkan kanak-kanak.
Pakar Pengurusan Perkhidmatan Teknologi Maklumat di Pertama Digital Berhad, Dr. T. Sashi Kumar, berkata bergantung semata-mata kepada pihak berkuasa tidak mencukupi untuk menangani masalah ini secara berkesan.
“Kita perlu menggabungkan kepakaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia, serta kepolisan komuniti yang semakin relevan,” katanya.
Sashi Kumar menekankan bahawa pemilikan dan penggunaan kandungan pornografi kanak-kanak kini membimbangkan kerana sesiapa sahaja boleh mengakses bahan ini melalui pelbagai saluran, termasuk platform bukan arus perdana seperti dark web.
Beliau menjelaskan bahawa saluran tersebut sukar dipantau secara komprehensif kerana berada di luar radar penguatkuasaan.
“Oleh itu, kita perlu mengubah pendekatan pemantauan terhadap pemilikan dan penggunaan video ini. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah tradisional,” tambahnya.
Pada Selasa, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 13 lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas, ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual dalam talian melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam serbuan di enam negeri.
Pemeriksaan ke atas peranti yang dirampas menemukan kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi.
Mengulas mengenai keselamatan siber, Sashi Kumar berkata cabaran utama kini ialah keupayaan pihak penggodam yang lebih maju berbanding teknologi keselamatan sedia ada.
“Syarikat perlu segera berkongsi maklumat mengenai jenis serangan baharu yang mereka hadapi, supaya langkah pencegahan boleh diambil dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), yang menyediakan asas kukuh untuk menangani pelbagai isu keselamatan siber, termasuk penggodaman, buli siber, dan jenayah penipuan.
“Dengan penguatkuasaan yang lebih ketat, saya percaya kita dapat mengekang isu-isu berkaitan keselamatan siber,” tambahnya. – BERNAMA



