KUCHING: Keputusan Datuk Snowdan Lawan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menjelang Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Ke-6 memperlihatkan kematangan politik serta keutamaan terhadap kestabilan parti.
Penganalisis politik, Profesor Dr Novel Lyndon, berkata langkah itu bukan tanda kelemahan, sebaliknya strategi bijak yang menekankan kepentingan bersama di atas cita-cita peribadi, terutamanya dalam suasana politik Sarawak yang semakin sengit menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.
“Langkah tersebut jelas bertujuan mengelakkan persaingan dalaman antara dua figura penting dalam PRS iaitu Snowdan dan penyandang jawatan Datuk Majang Renggi.
“Dalam sejarah politik setempat, pertarungan antara pemimpin kanan sering kali mencetuskan perpecahan dan melemahkan solidariti dalaman.
“Dengan memberi laluan kepada Majang, Snowdan menyampaikan mesej bahawa perpaduan parti adalah prioriti, terutama ketika PRS dan rakan-rakan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersiap menghadapi cabaran pilihan raya yang lebih besar dan kompleks,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurut beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, politik Sarawak sangat menekankan kestabilan dan kesepakatan, dan keputusan itu sejajar dengan pendekatan tersebut.
Katanya, tindakan tersebut juga mencerminkan kesetiaan Snowdan kepada semangat kolektif GPS.
“Beliau sedar bahawa sebarang konflik dalaman dalam PRS boleh merugikan kekuatan keseluruhan gabungan dan memberikan peluang kepada pesaing untuk mengambil keuntungan.
“Dengan langkah ini, Snowdan menunjukkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang mementingkan stabiliti gabungan berbanding kepentingan peribadi. Ini menempatkannya dalam kedudukan yang kuat dari segi pandangan masyarakat serta di kalangan rakan komponen GPS sebagai seorang pemimpin berwibawa dan berpandangan jauh,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa dari perspektif strategik, keputusan tersebut juga boleh dianggap sebagai pelaburan politik jangka panjang.
“Dalam arena politik, kemampuan untuk meletakkan kepentingan kolektif di hadapan kepentingan peribadi sering kali dianggap sebagai satu bentuk kepimpinan yang bernilai tinggi.
“Dengan tidak terlibat dalam perebutan jawatan, Snowdan tampil sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan beretika tinggi. Naratif yang dibawanya bahawa kepentingan parti mengatasi individu menjadi simbol bagi gaya kepimpinan matang dan relevan, terutamanya dalam konteks politik Malaysia yang sering dilanda oleh krisis kepimpinan,” ujarnya.
Tegasnya, keputusan Snowdan untuk tidak bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PRS adalah contoh jelas politik matang yang patut dihargai.
“Ia membuka peluang bagi PRS untuk bergerak ke hadapan dengan lebih bersatu menjelang pilihan raya akan datang serta cabaran besar pada tahun 2026 apabila 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan akan dipertandingkan.
“Tindakan ini juga menggambarkan kesediaan PRS untuk mengutamakan perpaduan dan kestabilan berbanding perebutan kuasa dalaman, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap politik Sarawak yang semakin mencabar,” tambahnya.


