BINTULU: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kemunting, Abdul Rahman Wahab, menggesa kerajaan mempertimbangkan pemindahan penduduk kampung ke kawasan yang lebih selamat.
Ini berikutan ancaman banjir besar dan hakisan tanah yang semakin serius dan memberi kesan buruk kepada keselamatan penduduk.
Abdul Rahman melahirkan kebimbangannya susulan banjir luar biasa baru-baru ini yang melanda kampung tersebut dan menyebabkan kerosakan pada rumah dan infrastruktur.
Beliau berkata keadaan ini semakin kritikal apabila arus Sungai Sebiew yang semakin deras menambah masalah hakisan tanah di tebing sungai tersebut.


“Ini bukan sahaja membahayakan harta benda, tetapi juga mengancam nyawa penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.
“Pemindahan penduduk ke lokasi yang lebih selamat adalah langkah jangka panjang yang perlu dipertimbangkan kerajaan.
“Kami tidak mahu menunggu sehingga terjadi tragedi lebih besar,” ujarnya ketika ditemui sewaktu sedang membantu kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk Kampung Kemunting, petang tadi.
Beliau turut mencadangkan agar benteng atau pagar batu dibina di kawasan tepi sungai untuk mengekang hakisan yang semakin merosakkan kawasan tersebut.
“Langkah ini diharap dapat mengurangkan risiko bencana yang sering berlaku, selain memberi ketenangan kepada penduduk,” tambah Abdul Rahman lagi.




