Kerajaan GPS tidak abai sekolah di Repok

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menaiktaraf dan membaikpulih banyak sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok dalam usaha memastikan golongan muda mendapat prasarana pendidikan terbaik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kesemua projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Di Repok sahaja, sebanyak 61 projek dinaiktaraf dan dibaikpulih sepanjang tahun 2016 hingga 2019. Inilah bukti keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kita sayangi.

“Beliau sangat mengambil berat tentang kepentingan rakyat khususnya di Repok seperti Slogan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Utamakan Sarawak,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak, di Pusat Inovasi Sarikei (SIC).

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif itu kerana sedar pendidikan memainkan peranan yang teramat penting dalam mengubah nasib seorang individu, keluarga, masyarakat, bangsa atau negara.

Dato’ Sri Huang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa agar memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi masa depan anak-anak.

“Semoga bantuan pakaian seragam ini akan meringankan beban keluarga yang terlibat. Anak-anak yang menerima bantuan ini seharusnya lebih bersemangat datang ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh.

“Saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana banyak membantu aspek pendidikan untuk anak-anak muda Sarawak. Ketua Menteri, bukan sahaja sentiasa menyalurkan peruntukan membaiki dan menyelenggara malah memenuhi pelbagai keperluan termasuk sekolah kawasan pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu seramai 336 pelajar dari 24 buah sekolah di DUN Repok menerima sumbangan baucer masing-masing.

Hadir sama, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmuddin Narudin, wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Faustino Frederick.