KUCHING: Sarawak mahu membina ekosistem ekonomi yang lebih kukuh dengan menghubungkan syarikat milik kerajaan (SOE), syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta, pelabur, universiti, institusi penyelidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya bergerak secara lebih bersepadu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu penting bagi menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber daripada setiap pihak bagi mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, inovasi serta pertumbuhan ekonomi.
“Dengan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber masing-masing, kita dapat mewujudkan peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama sedemikian semakin penting ketika Sarawak bergerak ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu sektor tenaga boleh baharu, peralihan tenaga, ekonomi hidrogen, ekonomi digital, kecerdasan buatan, pembuatan termaju dan semikonduktor.
“Sektor berkenaan memerlukan kepakaran, teknologi dan pelaburan yang pelbagai, justeru kerajaan, industri dan institusi penyelidikan tidak boleh bergerak secara berasingan.
“Peranan masing-masing saling melengkapi. Kerajaan menetapkan hala tuju strategik dan menyediakan persekitaran yang menyokong, manakala industri memacu pelaburan serta inovasi.
“Ini akan memperkukuh keupayaan perusahaan tempatan dan membolehkan lebih banyak perniagaan Sarawak berkembang seiring transformasi ekonomi negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sebelum ini mengumumkan kajian bagi membangunkan Ekosistem Transformasi dan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak menerusi Belanjawan 2027, di samping meneruskan pelaburan dalam pembangunan kapasiti penjawat awam.
“Kedua-dua inisiatif itu penting bagi memperkukuh institusi kerajaan dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih tangkas, berkeupayaan menyesuaikan diri serta bersedia menghadapi keperluan masa depan.
“Setiap pegawai, tanpa mengira jawatan atau tahap tanggungjawab, mempunyai peranan untuk mengenal pasti masalah, mempersoalkan amalan yang tidak lagi berkesan dan mencadangkan penambahbaikan yang praktikal,” katanya.
Katanya, tadbir urus strategik juga perlu menjadi asas kepada pelaksanaan dasar dengan memastikan setiap keutamaan, peruntukan sumber dan keputusan kerajaan berasaskan data yang boleh dipercayai serta bukti kukuh.
“Pendekatan Pengurusan Berasaskan Hasil Bersepadu (IRBM) perlu diperkukuh supaya perancangan, belanjawan, pelaksanaan dan pemantauan prestasi bergerak secara selari untuk menghasilkan keputusan yang boleh diukur,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, keupayaan negeri menghasilkan teknologi tempatan menunjukkan potensi besar untuk Sarawak bergerak ke aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Antara contoh terbaharu ialah cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) keteq.GaN yang direka bentuk secara tempatan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor dan mempunyai aplikasi dalam infrastruktur kecerdasan buatan, tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri serta grid pintar.
“Ini menunjukkan bagaimana Sarawak boleh membangunkan keupayaan teknologinya sendiri dan bergerak ke arah aktiviti yang mempunyai nilai lebih tinggi.
“Cabaran seterusnya bukan sekadar menghasilkan idea atau teknologi, tetapi memastikan inovasi berpotensi dapat diuji, dikomersialkan dan dibawa ke pasaran dengan lebih meluas,” jelasnya.
Katanya, perkara itu memerlukan kerjasama lebih rapat antara industri dan institusi penyelidikan, akses lebih baik kepada pelaburan serta kepakaran dan pemahaman lebih mendalam terhadap keperluan pasaran.





