ARTIKEL

Kerajaan kaji undang-undang khusus berkaitan AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan undang-undang spesifik berkaitan kecerdasan buatan (AI) berikutan wujudnya cabaran dalam perundangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sistem sedia ada perlu ditambah baik kerana undang-undang berkaitan AI melibatkan pendekatan yang berbeza termasuk beban pembuktian, ketulenan dan integriti dokumen.

“Pada masa kini, apa yang anda cakap, semua dokumen berada dalam talian dan kerana ia dalam talian, anda boleh mengada-adakan sebarang kandungan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Beliau berkata mahkamah perlu mempunyai keyakinan untuk menerima bukti berasaskan AI, dengan teknologi itu mampu menghasilkan visual atau audio yang menyerupai individu sebenar tetapi tidak wujud dalam realiti, dan perkara ini memerlukan perhatian serius bagi melindungi orang awam daripada penipuan atau manipulasi.

Mengulas perkembangan penggubalan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Azalina berkata perkara itu masih dalam proses dan tertakluk kepada persetujuan parti-parti politik.

“Kita ada tiga sesi Parlimen setahun… ia masih dalam proses,” katanya.

Mengenai isu majikan menyimpan pasport pekerja, Azalina berkata undang-undang negara melarang perbuatan itu.

“Anda perlu berlaku adil kepada pekerja anda dan pulangkan semula pasport mereka,” katanya sambil menegaskan bahawa Malaysia menghormati hak asasi semua pekerja termasuk pekerja asing dari negara-negara ASEAN, dan tidak seharusnya bertindak secara kasar atau bertentangan undang-undang terhadap mereka.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Azalina berkata pelancaran NAPBHR 2025-2030 menandakan rangka kerja nasional pertama negara bagi mengintegrasikan hak asasi manusia dalam perniagaan dan tadbir urus korporat.

Beliau berkata pelan itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGPs) ketika negara memegang peranan Pengerusi ASEAN.

“Kejayaan pelan ini memerlukan lebih daripada sekadar usaha kerajaan, ia memerlukan pemilikan bersama,” katanya.

NAPBHR memberi tumpuan kepada buruh, alam sekitar dan tadbir urus serta dibangunkan melalui sesi libat urus sejak 2019 bersama kementerian, agensi, masyarakat sivil, pemimpin industri, komuniti Orang Asli, kesatuan sekerja dan ahli akademik.—BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap