ARTIKEL

TINJAU PROJEK... Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengadakan lawatan ke tapak projek penaiktarafan sistem perparitan bersama pasukan teknikal Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan wakil komuniti setempat di Batu Kawa, hari ini.

Kerajaan komited tambah baik sistem perparitan Batu Kawa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membelanjakan hampir RM25.8 juta bagi melaksanakan kerja penaiktarafan sistem perparitan di kawasan Batu Kawa sejak 2016 sebagai usaha berterusan memperkukuh infrastruktur saliran dan mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan perumahan.

Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N14 Batu Kawa, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sepanjang tempoh tersebut, kira-kira 20 kilometer sistem perparitan konkrit telah dinaik taraf termasuk pembinaan semula longkang di lorong belakang serta penggantian longkang konkrit usang kepada sistem baharu yang lebih cekap.

“Penaiktarafan sistem perparitan di kawasan perumahan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia melibatkan pelbagai cabaran teknikal.

“Namun, pembangunan pesat di Batu Kawa menjadikan penambahbaikan infrastruktur ini amat diperlukan bagi memenuhi keperluan semasa penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak dua projek penaiktarafan sistem perparitan di RPR Batu Kawa Lorong 6 dan Jalan Field Force yang turut disertai pasukan teknikal daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP), hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Sim berkata, dua projek baharu yang sedang dilaksanakan itu melibatkan kos melebihi RM800,000 dan dijangka siap masing-masing pada Ogos dan Oktober tahun ini.

“Apabila siap kelak, kedua-dua projek tersebut akan meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan berkenaan sekali gus membantu mengurangkan kejadian banjir kilat ketika hujan lebat.

“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sistem saliran di kawasan perumahan mampu menampung pertumbuhan pesat pembangunan di Batu Kawa,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kontraktor agar melaksanakan tanggungjawab dan menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ini perlu disiapkan mengikut jadual.
“Kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindakan sewajarnya termasuk disenarai hitam, sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” tegasnya.

Menurut beliau, projek penaiktarafan sistem perparitan di RPR Batu Kawa merupakan antara inisiatif infrastruktur terbesar yang dilaksanakan di kawasan itu dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini.

Di bawah projek tersebut, semua longkang di bahagian hadapan dan belakang rumah akan dinaik taraf secara berperingkat, manakala jalan di lorong-lorong berkaitan akan diturap semula selepas kerja perparitan selesai bagi melancarkan aliran trafik.

Dr Sim berkata, perubahan iklim serta pertambahan kawasan pembangunan perumahan menyebabkan sebahagian sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah air hujan, sekali gus menjadikan penaiktarafan sistem perparitan sebagai satu keperluan.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak akan terus komited menambah baik kemudahan infrastruktur di kawasan perumahan di samping mengalu-alukan cadangan membina daripada orang ramai bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk penduduk Batu Kawa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU