KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri bakal mengumumkan insentif khas baharu melibatkan peruntukan besar untuk membantu meringankan beban anak-anak Sarawak yang belajar di seluruh pelosok Malaysia.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berita baik itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November depan.
“Saya akan mengumumkan insentif baharu untuk pelajar-pelajar kita yang belajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan.
“Masih terlalu awal untuk saya mengumumkan sekarang, tetapi saya boleh memberi bayangan bahawa pendekatan ini melibatkan peruntukan berjumlah jutaan ringgit.
“Ini kerana kita faham bahawa anak-anak ini berdepan dengan kos hidup yang tinggi dalam melanjutkan pelajaran sama ada di Perlis, Kuala Lumpur, Terengganu, Johor atau sebagainya. Justeru, biasiswa atau pinjaman sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘Dialog Awam’ bersama-sama para pelajar pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di MITEC, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas keperluan, didapati para pelajar lebih memerlukan bantuan dari sudut pembelian komputer riba berbanding buku.
“Para pelajar kita berkehendakkan komputer riba dan harganya mahal, mereka lebih memerlukan ini. Jadi kita akan membuat kajian dan saya akan umumkan pada 20 November ini,” ujarnya.
Di samping itu, beliau memberitahu kerajaan negeri juga bercadang memberikan elaun wang saku untuk anak-anak Sarawak yang belajar di peringkat kolej dan universiti.
“Apabila anda belajar di Kuala Lumpur, anda memerlukan wang saku sama ada untuk membeli mi segera pada waktu malam atau keperluan lain.
“Jadi, saya akan umumkan bantuan untuk membeli barangan keperluan ini, juga pada bulan hadapan dan ia bakal memberikan manfaat kepada sekitar 25,000 anak Sarawak dengan indikator ‘K’,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan untuk membantu anak-anak Sarawak di perantauan itu dapat dilaksanakan dengan kekuatan ekonomi negeri yang meningkat saban tahun.



