MELAKA: Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mencari titik persamaan dan mengutamakan kestabilan pentadbiran negara, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata politik bersifat dinamik dan hubungan antara parti boleh berubah, namun kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha membina negara serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Azman berkata kerajaan perlu menghormati mandat rakyat dan menggunakan baki penggal sebaik mungkin, selain menangani pelbagai cabaran ekonomi yang mungkin dihadapi negara.
Beliau berkata kestabilan kerajaan penting bagi membolehkan negara memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta membuka lebih banyak peluang pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, Azman berkata Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersedia menghadapi sebarang persaingan, sama ada bertanding secara solo atau bekerjasama dengan gabungan lain.
Namun, katanya, keutamaan ketika ini ialah melaksanakan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat seperti dilapor Bernama.



