Kerajaan PH perlukan masa untuk buktikan kemampuan

PENTADBIRAN KerajaanPakatan Harapan (PH) genap setahun pada 9 Mei lepas setelah lebih enam dekad di bawah kepimpian Barisan Nasional (BN).

Memetik laporan akhbar Sinar Harian pada 29 April 2019, peralihan kuasa daripada BN kepada PH berjalan lancar menyebabkan seluruh dunia mengagumi kelicinan proses peralihan tersebut.

Laporan berita tersebut juga memetik pendapat penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi yang berpendapat terdapat beberapa faktor menyebabkan rakyat kurang berpuas hati dengan pentadbiran PH sekarang.

Menurut beliau, empat faktor itu ialah PH dilihat kurang berjaya menangani isu ekonomi rakyat selain janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang banyak gagal dilunaskan.

Selain itu, persepsi PH gagal menjaga isu melibatkan Melayu, agama Islam dan institusi diraja beredar dalam kalangan masyarakat serta dilihat asyik menyalahkan kerajaan terdahulu namun kurang berjaya membaiki dan membuat pembaharuan lebih baik, katanya.

Tadbir Urus Baik Asas Kukuh Bangunkan Malaysia

Tanggal 7 Mei lalu, Astro Awani turut melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata Kerajaan PH meletakkan asas kukuh menerusi tadbir urus yang baik untuk membawa Malaysia membangun di landasan yang betul.

Setahun mentadbir negara, PH berusaha mengisi harapan rakyat yang menukar kerajaan melalui PRU 14 pada 9 Mei 2018.

“Realitinya, kita adalah kerajaan baharu tanpa pengalaman walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah yang paling berpengalaman dalam dunia.

“Penting untuk kita meletakkan good governance bagi mentadbir Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya serta memenuhi harapan yang rakyat mahu kita laksanakan.

“Ada yang mengatakan PH mengambil masa terlalu lama tetapi setahun adalah masa yang singkat untuk kita menilai pencapaian.

“Namun kita boleh lihat apakah usaha-usaha yang telah diletakkan oleh kerajaan PH,” tambahnya.

Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita dalam temu bual khas sempena setahun pentadbiran Kerajaan PH di pejabatnya di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PH Dicemuh Namun Masih Menjadi Pilihan Ramai

Tidak lengkap andainya kita tidak membuat tinjauan pendapat umum bagi mencari titik persamaan dan pandangan agar dilihat adil serta telus dan bukan hanya berpaksikan pendapat ahli politik dan golongan berkepentingan sahaja.

Memetik Bernama berkenaan tinjauan pendapat umum terbaru KAJIDATA Research mengenai populariti PH semasa meraikan ulang tahun pertama pemerintahannya menunjukkan ramai melihat PH sebagai kerajaan yang berdaya maju berbanding kerajaan BN sebelum ini.

Tinjauan melalui telefon itu membabitkan 1,007 responden daripada pelbagai kaum, usia, pendapatan, negeri dan jantina menunjukkan 40 peratus lebih cenderung untuk mengundi PH berbanding PAS (16 peratus) atau BN (15 peratus).

PH tetap mempunyai sokongan yang lebih besar jika dibandingkan dengan gabungan BN dan PAS.

Kajian yang dijalankan untuk membantu memahami persepsi rakyat terhadap PH juga menunjukkan 43 peratus daripada pengundi berpendapatan tinggi berpuas hati dengan cara PH menguruskan ekonomi tetapi hanya 30 peratus daripada golongan berpendapatan rendah berpuas hati.

Perbezaan ini mempunyai kesan politik yang jelas dengan pengundi berpendapatan rendah lebih berkemungkinan mengundi gabungan BN dan PAS berbanding PH.

Analisis tinjauan juga menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi rakyat merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kesetiaan politik.

Kajian yang dijalankan sejak Mac tahun ini juga mendapati PH tidak mendapat sokongan tinggi di Kelantan dan Terengganu.

Satu lagi petunjuk yang PH masih lagi tidak dapat meyakinkan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah bandar bahawa PH adalah pilihan yang lebih baik.

Bagaimanapun, PH mempunyai sokongan padu di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

Responden Sarawak juga menyatakan keyakinan mereka kepada PH, tidak kurang juga yang menagih janji.

Kita melihat tinjauan umum yang dilakukan oleh Suara Sarawak edisi 9 Mei 2019 iaitu pemerintahan PH dikatakan memberi tumpuan kepada bantuan rakyat.

Tidak semua rakyat terutamanya orang Sarawak dapat menerima pemerintahan baharu terutamanya apabila menyentuh isu hak Sarawak.

Oleh itu, responden berpendapat kerajaan harus memberi tumpuan lebih untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat.

Responden dari Sarawak turut mengatakan PH tidak mampu mengotakan janji.

Rata-rata ingin melihat ketelusan PH bekerja mengikut lunas seperti manifesto mereka kerana rakyat masih belum melihat perubahan besar dilakukan kerajaan PH dan berharap agar mereka dapat menyumbangkan satu perubahan kepada negeri.

Bukan Sehari Dua Baiki Rumah Rosak

Melalui siaran 9 Mei Suara Sarawak, Adun Pending Violet Yong Wui Wui turut mengeluarkan pendapat menyatakan bukan mudah membaiki rumah rosak teruk dalam tempoh sehari selepas PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam PRU14.

Violet dipetik berkata, dalam tempoh setahun prestasi PH amat memuaskan terutamanya memerangi amalan rasuah.

“Kita semua mesti ingat proses undang-undang memerlukan masa untuk diteliti sepenuhnya bagi menjayakan misi ini,” katanya.

Menurut Violet PH turut melakar sejarahnya tersendiri apabila melantik seorang wanita menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan.