KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan lebih banyak pelaburan sektor swasta bagi pembangunan kemudahan sukan dan rekreasi berkualiti sebagai usaha memperkukuh ekosistem sukan serta merancakkan pertumbuhan pelancongan sukan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting, berkata pelaburan seumpama itu bukan sahaja melengkapkan pembangunan infrastruktur sukan kerajaan, malah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat daripada pelbagai peringkat umur untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, kemudahan seperti The Tapang Club mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan menerusi peningkatan kedatangan pengunjung, sekali gus memberi manfaat kepada industri perhotelan, restoran, pengangkutan serta pelbagai perniagaan tempatan.

“Apabila sektor awam dan swasta bergerak seiring, semua pihak akan mendapat manfaat. Kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada belia, memperkukuh komuniti serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan lebih banyak pelaburan swasta dalam kemudahan sukan dan rekreasi berkualiti kerana ia menyokong usaha berterusan kerajaan membangunkan infrastruktur sukan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Majlis Pelancaran The Tapang Club di sini, hari ini.

Sebastian berkata, pembinaan The Tapang Club bukan sekadar pembukaan sebuah kelab sukan persendirian, sebaliknya merupakan pelaburan strategik sektor swasta yang menyumbang kepada pembangunan jangka panjang Sarawak.
Katanya, kemudahan tersebut berpotensi menarik kehadiran atlet, jurulatih, keluarga dan peminat sukan dari seluruh Sarawak, Malaysia dan negara jiran untuk menyertai kem latihan, kejohanan serta program pembangunan sukan.
“Ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan pelancongan yang mampan, berasaskan pengalaman serta mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan turut menggabungkan elemen kesejahteraan, teknologi, pertanian pintar, konsep farm-to-table serta amalan kelestarian yang sejajar dengan agenda pembangunan hijau Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab sukan serantau menerusi pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur sukan, pembangunan atlet serta penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran beberapa acara sempena Sukan SEA di Kuching tahun depan menjadi antara bukti komitmen kerajaan dalam merealisasikan visi tersebut.
“Namun, kejayaan tidak hanya bergantung kepada penganjuran kejohanan. Atlet bertaraf dunia dibentuk melalui latihan berterusan, kejurulatihan berkualiti serta akses kepada kemudahan bertaraf antarabangsa.
“Justeru, pelaburan swasta dalam kemudahan seperti The Tapang Club amat penting bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada atlet Sarawak berlatih dan mencapai prestasi terbaik tanpa perlu berlatih di luar negeri ini,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan berharap lebih banyak kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta dapat diwujudkan bagi memperkasa pembangunan komuniti, melahirkan generasi muda berdaya tahan serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama sukan dan pelancongan sukan di rantau ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; ADUN Serumbu, Datuk Miro Simuh; ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang; Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai; Penasihat Tapang Club, Datuk Seri Richard Wee; Pengarah Urusan TNCL Holdings, Raymond Tay; serta Pengarah Pemasaran Tapang Club merangkap Pengerusi Penganjur Pelancaran Tapang Club, Darren Wee.





