ARTIKEL

Abdul Karim bercakap pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Sarawak, di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak bangunkan mekanisme pembiayaan industri kreatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan mekanisme pembiayaan khusus bagi industri kreatif, termasuk cadangan dana pusingan RM5 juta setahun bagi membantu penggiat seni, persembahan dan kreatif mengembangkan bakat serta aktiviti.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana berkenaan penting untuk memastikan penggiat industri kreatif mempunyai saluran pembiayaan yang bersesuaian dengan bidang mereka.

Menurutnya, cadangan itu turut mengambil kira keperluan membezakan penggiat kreatif dengan usahawan konvensional kerana sebahagian mereka tidak melihat aktiviti seni dan persembahan sebagai perniagaan.

“Bagi penggiat industri kreatif yang mahu menyanyi, membuat filem dan sebagainya, mereka diberitahu bahawa mereka bukan usahawan kerana berada dalam bidang yang berbeza,” katanya.

“Sebab itu saya beritahu Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa kita perlu mewujudkan dana pusingan RM5 juta setiap tahun khusus untuk mereka dan ia masih dalam proses,” katanya pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, Kerajaan Sarawak sebelum ini mengumumkan dana RM5 juta setahun untuk membantu industri kreatif, namun permohonan daripada penggiat seni persembahan dan kreatif masih rendah.

“Kerajaan kini menyediakan RM1 juta melalui Sarawak Youth Creative Industry Fund bagi menyokong bidang seperti teater, muzik, seni persembahan, media digital dan kraf warisan,” katanya.

“Jumlah berkenaan turut mengambil kira kadar permohonan yang masih rendah daripada penggiat industri kreatif, walaupun kerajaan telah membuka ruang pembiayaan bagi membantu mereka mengembangkan aktiviti,” jelasnya.

“Kalau dana sampai RM20 juta atau RM30 juta pun tiada guna jika hanya disimpan; kita perlu memastikan wang itu digunakan terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggiat industri kreatif perlu melihat bidang berkenaan bukan sekadar hobi, sebaliknya sebagai kerjaya dan perniagaan yang mempunyai potensi ekonomi besar sekiranya dibangunkan secara profesional.

Katanya, bidang muzik, filem, seni persembahan, media digital dan kraf warisan juga mampu menjadi platform untuk memperkenalkan identiti serta budaya Sarawak ke peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai budaya dan warisan yang unik; gunakan teknologi untuk mengangkatnya, gunakan kreativiti untuk mengembangkan dan gunakan dunia digital untuk memperkenalkan Sarawak kepada dunia,” katanya.

Abdul Karim berkata, dana berkenaan turut boleh membantu anak-anak Sarawak mewakili negeri serta mengembangkan bakat mereka dalam bidang kreatif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah