MIRI: Kerajaan Sarawak amat menghargai bantuan yang dihulurkan pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak university berkenaan telah banyak membantu dalam meringankan beban keluarga arwah yang datang jauh dari Miri.
“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak UPSI kerana membantu menyantuni keluarga arwah.
“Keluarga arwah ditempatkan di Rumah Tamu UPSI, malah kenderaan untuk kegunaan keluarga terbabit berulang-alik ke tempat yang hendak dituju juga dipinjamkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy mendedahkan bahawa dalam pertemuan dengan keluarga arwah di UPSI semalam, beliau ada bertanyakan sama ada jenazah akan dibawa balik ke Miri.
“Saya bertanya sama ada jenazah akan dibawa ke Miri atau di mana sebab biasanya kami akan bekerjasama dengan Rumah Sarawak yang sering membantu penghantaran mayat orang Sarawak di Semenanjung untuk dibawa balik ke negeri.
“Namun, dalam hal ini, keluarga telah memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Pahang iaitu di kampung kakak ipar arwah… Itu yang dimaklumkan kepada saya,” jelasnya.
Pada masa sama, Nancy yang mewakili KPKWM juga telah menyerahkan sumbangan Tabung Segera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Bantuan Skim Pemberian Ehsan kepada keluarga mangsa (PEKA YKN) sebanyak RM3,000.
Terdahulu, jasad Nur Farah Kartini, 25 yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor dalam keadaan tidak bernyawa.
Jasadnya ditemukan kira-kira jam enam petang pada Isnin lalu dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenalinya.
Berhubung penemuan jasadnya itu, pihak polis telah menahan seorang penjawat awam yang merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan terbabit.




