KUCHING: Kerajaan Sarawak memandang serius isu berhubung hakisan tebingan sungai serta tebatan banjir yang berlaku di beberapa kawasan di seluruh Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Atom berkata, pelbagai projek dijalankan dan dicadangkan serta dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
‘’Antara projek dijalankan ialah Projek Hakisan Tebing Sungai Batang Rajang dan Baram, cadangan untuk struktur kawalan hakisan di pelbagai rumah panjang dan kampung, termasuk Rh William Gima dan Kampung Benawa, akan dinilai di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Projek Tebatan Banjir di Kampung Pulat dan kawasan pantai bandar Mukah, dengan anggaran kos masing-masing RM20 juta dan RM60 juta, dijadualkan ditender pada 2025,’’ katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu kata Dr Rundi, dua projek membina benteng hakisan tanah tebingan sungai di Kampung Kupang dan Kampung Melango di Saratok kini menunggu kelulusan, dengan kos berjumlah lebih RM37 juta.
Sementara itu katanya, bagi projek pencegahan banjir Maludam, projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan di Tanjung Riong, Bahagian Betong, dijangka dimulakan pada 2025.
Tambahnya, projek pemulihan kecemasan Kabong di Kampung Sungai Benang termasuk meningkatkan peruntukan siling kepada RM21 juta, dengan pembaikan kecemasan dijalankan ketika ini.
‘’Ia bagi mengurangkan hakisan tebing sungai di Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang, peruntukan siling dinaikkan daripada RM15 juta kepada RM21 juta.
‘’Sementara itu, projek pemulihan kecemasan dengan kos RM150,500 dimulakan pada 13 November 2024 dan dijangka siap menjelang Disember 2024,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (LHDNM) bagi Batang Lupar akan dimulakan pada 2025 untuk mengurus sumber air secara menyeluruh.





