KOTA SAMARAHAN: Atlet berkumpulan Sarawak akan berkongsi insentif pingat seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Sarawak sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini insentif untuk pemenang pingat emas ialah RM15,000, perak (RM5,000), dan gangsa (RM3,000).
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memastikan atlet berkenaan tidak pulang dengan insentif kurang daripada RM1,000.
“Untuk atlet berkumpulan, mereka juga akan menerima jumlah insentif yang sama
iaitu RM15,000 (emas), RM5,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa) dan juga akan dibahagikan dalam kumpulan.
“Contohnya jika dalam kumpulan itu meraih emas jadi RM15,000 dibahagi tiga dan masing-masing akan menerima RM5,000… kalau dua orang pula mendapat RM7,500 seorang,” katanya.
Mengambil contoh pasukan futsal, beliau menambah mereka mendapat pingat perak dan jumlah insentif RM5,000 itu perlu dibahagikan.
“Jika pembahagian untuk seorang atlet kurang RM1,000… kerajaan akan menambah untuk mencukupkannya dengan jumlah itu,” ujarnya.



