ARTIKEL

Foto: UKAS

Kerajaan Sarawak rancang tubuh badan berkuasa selia tasik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan sebuah badan berkuasa khusus bagi menyelia dan mengawal selia pembangunan tasik di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan autoriti berkenaan penting bagi memastikan khazanah tasik yang dimiliki Sarawak dapat dibangunkan secara lebih tersusun, berstruktur dan memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Menurutnya, tasik seperti Batang Ai, Bakun dan Bengoh mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dan kawasan rekreasi, sebagaimana dilakukan di beberapa negeri lain.

“Kalau kita lihat negeri-negeri lain, tasik merupakan lubuk emas yang dibangunkan menjadi kawasan peranginan dengan kemudahan yang baik,” katanya.

“Kita ada Batang Ai, Bakun, Bengoh, termasuk sungai-sungai asli yang mempunyai potensi untuk dibangunkan seumpamanya,” ujarnya.

“Sehubungan itu, insya-Allah kita akan membangunkan satu autoriti yang akan menyelia kesemua tasik supaya ia dapat dimajukan lagi,” katanya semasa merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.

Jelasnya, badan berkuasa itu kelak akan menyelaras pembangunan di kawasan tasik bagi memastikan setiap aktiviti dan kemudahan dirancang secara sistematik tanpa menjejaskan potensi kawasan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, penyelarasan berpusat itu juga dapat memudahkan akses pelancong selain memastikan aspek keselamatan serta keselesaan pengunjung diberi perhatian.

Beliau berkata, Sarawak sememangnya bertuah kerana dikurniakan pelbagai khazanah alam, termasuk tasik dan sungai yang mempunyai nilai ekonomi serta pelancongan yang tinggi.

Menurutnya, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan ketika ini, kerajaan perlu menggunakan pendekatan baharu dalam mentadbir serta membangunkan ekonomi, termasuk dengan menambah nilai kepada kekuatan sedia ada.

“Tuan-tuan dan puan-puan, ini cara baharu kita dalam era AI dan digital, yang mana dalam mentadbir ekonomi, kita hendaklah mengaplikasikan cara baharu untuk menarik dan menambah nilai kepada kekuatan yang ada pada Sarawak,” katanya.

“Apa yang ingin saya sampaikan di sini, kita telah dianugerahkan Tuhan dengan begitu banyak khazanah,” tambahnya.

“Cuma terpulang kepada kita bagaimana menggunakan akal dan kebijaksanaan untuk menambah nilai kepada khazanah tersebut,” jelasnya.

“Orang lain melihat apa yang kita miliki, tetapi jangan sampai kita sendiri mengambil mudah atau menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa sahaja,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan,